Keamanan negara nikmat yang besar

Keamanan negara nikmat yang besar

Keamanan yang dikecapi negara hari ini adalah satu nikmat yang begitu besar, namun ia mungkin tidak disedari segelintir rakyat kerana menganggapnya sebagai perkara biasa, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata keadaan itu sebenarnya bukanlah perkara biasa kerana keamanan itu wujud disebabkan rakyat negara ini tidak bermusuhan sesama sendiri seperti yang berlaku di sesetengah negara lain.

Misalnya, situasi yang berlaku di Syria dan Yaman, Dr Mahathir berkata negara Islam tersebut mengalami keadaan yang amat menyedihkan apabila peperangan menyebabkan rakyatnya hidup dalam keadaan tidak tenteram dan ketakutan.

“Sebaliknya kita di Malaysia berasa aman, tenteram dan tidak berasa ketakutan apa-apa pun kerana kita tahu kita selamat kerana itu kita di Malaysia ini harus bersyukur sepanjang masa.

“Rakyat di Malaysia ini lebih suka untuk hidup rukun damai walaupun berlainan agama ataupun fahaman, inilah keadaan dalam negara kita,” katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Perdana Menteri di perkarangan Masjid An-Najah, Ayer Hitam, semalam.

Dr Mahathir berkata, rakyat Malaysia perlu melihat keadaan dan nasib buruk rakyat di negara lain dan mengambil iktibar daripadanya serta menghargai sebaik mungkin keamanan yang dinikmati di sini.

Katanya, walaupun negara ini terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan fahaman, namun keadaan itu tidak membawa kepada sebarang permusuhan sehinggakan rakyat dapat menikmati kehidupan dengan aman.

Turut hadir pada majlis tersebut isteri perdana menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir.

Pada majlis tersebut perdana menteri turut menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf dan anak yatim di kawasan Parlimen Jerlun.

Selepas berbuka, perdana menteri dan isteri kemudiannya menunaikan solat Maghrib di masjid tersebut sebelum meninggalkan majlis itu.

— BERNAMA