Malaysia Dateline

Keangkuhan Azam Baki perlekeh Ismail Sabri

Selepas Pengerusi LPPR, Abu Zahar Ujang menjadikan Yang Di-Pertuan Agong sebagai talian hayat untuk mempertahankan kedudukannya, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki pula berbuat demikian.

Berdepan tekanan yang kian meningkat yang mendesaknya meletakkan jawatan, beliau sebaliknya bertegas tidak akan tunduk kepada desakan tersebut.

Katanya, tiada sesiapa yang berhak mendesaknya berundur kerana yang layak berbuat demikian hanyalah Yang Dipertuan Agong.

“Saya dengan tegas dan tetap dengan pendirian teguh untuk tidak meletakkan jawatan kerana tidak ada keperluan untuk saya berundur.

“Hanya seorang individu yang paling layak dan boleh menamatkan tugas saya iaitu Yang Di-Pertuan Agong.

“Selain daripada itu, saya tidak mahu ambil peduli dengan apa jua tuntutan yang mahu diperjuangkan oleh pihak-pihak tertentu,” katanya lagi.

Wow…angkuhnya!!

Dengan mengeluarkan kenyataan seperti ini, selain menunjukkan keinginannya terus bergayut kepada talian hayat Agong, hakikatnya inilah juga ketua sebuah agensi kerajaan yang paling angkuh sekali.

Kenapa mesti mempergunakan nama dan kedudukan Agong?

Meskipun benar perlantikan beliau sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM dibuat oleh Agong, tetapi dalam sistem demokrasi berparlimen yang menjadi amalan negara kita, semua keputusan Agong adalah atas nasihat Perdana Menteri.

Agong adalah ketua negara dan urusan pentadbiran kerajaan diurus oleh seorang Perdana Menteri sebagai mewakili Agong.

Agong sebagai ketua negara tidak terlibat dalam urusan pentadbiran kerajaan, sebaliknya semua peranan itu dilakukan oleh Perdana Menteri.

Dalam kes Azam Baki, Perdana Menteri sebenarnya boleh menamatkan khidmat beliau melalui nasihatnya kepada Agong.

Dengan demikian, kenyataan Azam Baki bahawa hanya Agong seorang saja yang layak memecatnya adalah tidak tepat dan menyimpang.

Yang tepat dalam kenyataannya itu hanyalah ia menunjukkan keangkuhan dan kesombongannya.

Bahkan, lebih angkuh lagi kerana di samping enggan berundur, beliau terus cuba bergayut menggunakan nama Agong untuk mengekalkan jawatannya.

Dengan mengatakan hanya Agong seorang yang layak menamatkan khidmatnya, Azam Baki secara jelas telah memperlekehkan kedudukan Ismail Sabri selaku Perdana Menteri.

Seolah-olah Perdana Menteri pun tidak mampu dan tidak layak menamatkan khidmatnya.

Dalam hal ini, sedarkah Azam Baki siapa yang mencadangkan namanya kepada Agong sebelum ini untuk dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 2020 lalu?

Kalau Perdana Menteri boleh mencadangkan namanya untuk diberi jawatan, apakah tidak boleh Perdana Menteri juga mencadangkan agar beliau ditamatkan perkhidmatan?

Meskipun dilanda kontroversi paling parah dalam sejarah SPRM, kengganan Azam Baki berundur atau meletak jawatannya, walaupun sepatutnya itulah pilihan terbaik baginya, adalah sesuatu yang memalukan.

Dengan kontroversi pemilikan saham yang dikaitkan dengannya serta berpotensi melanggar beberapa peraturan serta undang-undang yang lain, beliau sebenarnya tidak layak lagi duduk di tempatnya sekarang.

Apa lagi yang mahu dipertahankan dan kebenaran lain apa yang diharapkannya akan muncul dengan enggan meletakkan jawatan itu, sedangkan pengakuannya memiliki berjuta-juta saham korporat itu sendiri sudah lebih daripada suatu kebenaran.

Kepada Ismail Sabri, sebelum keangkuhan Azam Baki menjadi-jadi dan perlekehannya kepada Perdana Menteri bertambah-tambah lagi, eloklah segera menghadap Agong untuk menamatkan kontroversi memalukan ini.

Lagi pun, mood rakyat sama sekali tidak bersama Azam Baki dan mereka lebih mahukannya cepat-cepat pergi.