Malaysia Dateline

Keazaman untuk tidak berubah (Bahagian 1)

Memang kita sedang berada dalam zaman sukar, meleset, mencabar, dan tidak tentu arah. Pandemik yang melanda dunia hari ini masih belum surut, dan sedang mengganggu setiap fabrik sosial dan ekonomi kita.

Dengan jumlah kes yang terus meningkat – yang meningkatkan keresahan masyarakat, kita tidak dapat lari dari berasa buntu.

Melihat kepada bukan sahaja situasi negara, sebaliknya seluruh dunia, paling tidak pun kita akan hanya dapat keluar dari kemelut ini mungkin dalam dua atau tiga tahun dari sekarang, walaupun tidak sepenuhnya.

Ini adalah sebuah wilayah yang belum pernah kita jejaki – krisis kesihatan berskala global yang selama ini hanya ditonton dalam filem sains fiksyen.

Jika hendak terbawa-bawa oleh filem-filem sains fiksyen, dunia sekarang akan digambarkan dalam situasi pasca kiamat (post apocalypse) yang melahirkan sebuah distopia.

Segala-galanya musnah, dan warga manusia yang masih hidup selepas krisis tersebut berhadapan cabaran dalam melangsungkan hidup. Krisis moden sebelum kiamat seperti perebutan kuasa, ekonomi, wilayah, sumber dan sebagainya masih akan wujud, cuma dalam bentuk yang berbeza.

Naluri semula jadi manusia – berebut, bersaing, ketamakan masih kekal dan tidak dapat dibuang.

Begitu pun, kita tidak akan berhadapan situasi seburuk filem sains fiksyen tersebut. Filem memang dibikin untuk mengolah emosi penonton. Filem memang perlu berlebih-lebihan.

Realiti kita jauh lebih baik. Yang menunggu kita bukan survival dengan merebut apa yang bersisa di atas muka bumi. Yang menunggu kita adalah cabaran baharu untuk membangunkan semula dunia. Sebuah dunia baharu pasca pandemik.

Apakah sebenarnya krisis di hadapan kita ini begitu kompleks? Kalau semua kita dapat bertenang, dan meletakkan rasional sebagai syarat utama dalam usaha mencari penyelesaian, jalan keluar kepada krisis pandemik ini sentiasa ada di hadapan mata.

Penularan wabak boleh dihentikan dengan seluruh masyarakat faham asas-asas untuk memutuskannya – seringkas menjaga interaksi sosial, memakai pelitup muka, dan membersihkan tangan; sehinggalah kepada langkah yang lebih klinikal seperti kuarantin, rawatan, dan vaksinasi. Penyelesaian sentiasa ada, dan ia sebenarnya agak asas dan tidak rumit.

Penularan wabak boleh dihentikan dengan seluruh masyarakat faham asas-asas untuk memutuskannya.

Covid-19 memang berbahaya dan sangat mudah untuk menular – namun ianya tidak segila ketika kita berhadapan ancaman wabak-wabak lain seperti Ebola misalnya. Bukan meremehkan Covid-19, namun seperti yang dikatakan tadi, langkah untuk mengatasinya sangat asas.

Kita sudah pun mempunyai pengalaman berhadapan penularan wabak yang lebih ganas dan rumit – jadi seharusnya mengatasi penularan ala influenza seperti Covid-19 ini tidak terlalu sukar.

Begitu juga dengan impak ekonomi. Sekali lagi, jalan keluar selalunya ada di hadapan mata kita, biar pun tidaklah seringkas melawan penularan wabak.

Bukan kita tidak pernah berhadapan situasi kemelesetan sebegini. Dunia pernah berhadapan pelbagai bentuk kemelesetan ekonomi yang amat memberi kesan kepada terutama golongan pekerja.

Dari The Great Depression, kepada Pasca Perang Dunia, Krisis Kewangan Asia 1997, dan Krisis Kewangan 2007-2008 – dunia akhirnya sentiasa dapat keluar daripadanya.

Kunci menghadapi impak ekonomi selalunya terletak pada keazaman dan keberanian untuk berubah serta menongkah arus.

The Great Depression pada 1929 misalnya bertemu permulaan kepada jalan keluar apabila Presiden Roosevelt memperkenalkan New Deal – langkah dan hala tuju ekonomi yang banyak bertentangan dengan amalan konvensional ekonomi pasaran bebas Amerika Syarikat.

New Deal menjadi turning point besar buat Amerika Syarikat, sebelum mereka beransur-ansur kembali kepada cara lama menguruskan ekonomi secara bebas.

Begitu juga dengan Krisis Kewangan Asia yang menimpa kita pada 1997 dahulu. Kita tidak akan keluar dari krisis tersebut jika bukan kerana keberanian untuk menongkah arus.

Malaysia adalah satu-satunya negara berbanding Indonesia, Thailand, dan Korea Selatan antara lainnya yang tidak mengambil pinjaman Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF). Keberanian ini menjadikan kita negara pertama yang berjaya lolos dari krisis.

Jadi, apa yang menghalang kita hari ini untuk memandang ke hadapan saat berhadapan krisis yang sedang menimpa kita sekarang? Jawapannya adalah keazaman untuk tidak berubah.

Pandemik yang melanda dunia sedang mengganggu setiap fabrik sosial dan ekonomi.

Sejak tahun lalu lagi, sudah terlalu banyak tulisan di dalam media pelbagai yang cuba untuk meyakinkan orang ramai, dan paling penting sekali kelompok pembuat polisi dan pemain ekonomi – bahawa dunia harus ambil peluang untuk belajar dari pandemik ini, dan dunia harus berubah agar apa yang sedang dihadapi sekarang tidak berulang lagi di masa hadapan.

Ada pelbagai pengalaman yang sepatutnya telah mengajar dan membuatkan kita menjadi lebih baik sebagai sebuah masyarakat, sebuah negara, mahupun sebuah spesis terutama ketika berhadapan situasi seperti hari ini.

Ada banyak pengalaman yang menunjukkan sistem kehidupan kita – ekonomi dan sosial, amat bermasalah, dan sendiri menyebabkan krisis yang menimpa hari ini.

Ia adalah sistem berbahaya yang tidak boleh diteruskan dan harus diubah dengan drastik. Sayangnya, kita masih kekal seperti semalam.

Batu penghalang terbesar kita ada dalam kalangan kita sendiri. Kita tidak bercakap tentang masyarakat biasa. Mustahil masyarakat yang sedang terseksa hari ini tidak mahukan perubahan segera.

Kita bercakap tentang orang-orang dan institusi-institusi yang selama ini memandu sistem dan cara dunia berfungsi. Mereka ini tidak mahukan perubahan kerana akhirnya, mereka terus membuat keuntungan daripada krisis yang sedang berlaku kini.

Mereka inilah golongan yang menyalakan keazaman untuk tidak berubah.

(Bersambung)

 

*ADAM ADLI bekas pelajar UPSI yang pernah aktif bersama gerakan mahasiswa hampir sedekad yang lalu. Beliau kini bergerak bersama Liga Rakyat Demokratik sebagai Pengerusi bagi sidang 2020-2022.