Malaysia Dateline

Keazaman untuk tidak berubah: Pandemik menguntungkan?

BAHAGIAN KEDUA

Sejak bermulanya pandemik yang kini mengurung masyarakat dunia – di saat syarikat-syarikat yang bermodal kecil gulung tikar, dengan jutaan pekerja kehilangan mata pencarian – ada kelompok yang menjadi lebih kaya dari kaya. Ada pula kelompok yang menjadi lebih berkuasa dari berkuasa.

Kelompok seperti ini sentiasa wujud sepanjang sejarah krisis manusia. Dalam waktu-waktu perang, golongan sebegini dipanggil war profiteer – membuat untung dari perang.

Untuk pengejar keuntungan dalam bentuk ringgit dan dollar, ia melibatkan mereka yang secara langsung menjadi pembekal buat perang tersebut. Pengeluar senjata, pedagang dan spekulator mata wang, pengeluar jentera perang, pedagang komoditi terhad, dan banyak lagi yang tidak kita perasan.

Untuk golongan yang mengejar keuntungan dalam bentuk kuasa melalui politik – tidak perlu untuk disenaraikan. Semua perang yang berlaku akhirnya bertitik tolak daripada percaturan politik yang bertukar ekstrem. Ada yang bertujuan untuk melebarkan sayap kuasa, ada yang bertujuan untuk mengekalkan pemerintahan.

Dalam situasi perang juga, banyak kuasa ketenteraan (yang tidak dikawal oleh sesebuah kerajaan) menggunakan kesempatan yang ada untuk mengabsahkan kewujudan mereka.

Dalam situasi sebuah institusi politik sedang mengalami kemerosotan sokongan, melancarkan sesebuah perang untuk mengalih pandangan dan sekali gus meningkatkan semula populariti dalam kalangan rakyat sendiri adalah strategi politik yang sudah berulang kali dipraktik.

Pada 1982, Perdana Menteri Britain ketika itu, Margaret Thatcher mengambil peluang untuk mengolah sokongan politik yang sedang merosot dengan memulakan sebuah perang yang tidak diperlukan.

Apabila Kepulauan Falklands diceroboh oleh militia Argentina, Thatcher telah tanpa ragu-ragu menghantar armada tentera Britain ke Pulau Falklands untuk menyelesaikannya. Krisis yang sebenarnya boleh dirungkai melalui jalan diplomasi itu berlangsung selama 10 minggu, dengan Britain berjaya mengusir Argentina.

Kemenangan armada Britain di Kepulauan Falklands tersebut digunakan oleh Thatcher untuk mengukuhkan pengaruh politiknya. Ancaman perang dengan kuasa asing memberi ilusi penyatuan antara rakyatnya, dan untuk seketika memberi nafas buat Thatcher.

Strategi yang sama berulang dalam banyak lipatan sejarah lain – seperti penaklukan Afghanistan dan Iraq oleh Amerika Syarikat di bawah Bush antara lainnya.

Secara ringkas, setiap krisis sebegini akan melahirkan pengaut keuntungan – dan dalam banyak situasi moden, pengaut keuntungan ini juga adalah mereka yang sendirinya melahirkan krisis untuk menimbulkan suasana yang menguntungkan mereka.

Mempelajari dari sejarah, maka tidak salah untuk kita katakan krisis hari ini pula berjaya melahirkan pandemic profiteer. Sama ada mereka ini pula yang sebenarnya dengan sendiri melahirkan krisis yang ada, belum dapat kita tentukan lagi.

Bukan kerja kita untuk memakai tin foil hat, menggali terlalu dalam sehingga lemas dan keliru antara fakta nyata dan teori konspirasi.

Cukuplah dengan membincangkan sekadar yang rasional dan nyata.

Pandemic profiteer ini akan sentiasa muncul dalam banyak bentuk, namun asasnya bercambah dari pohon yang sama – ketamakan atau greed.

Untuk rekod, Forbes menganggarkan bahawa sejak pandemik melanda dunia tahun lalu, golongan berstatus billionair, yang sering dilabel sebagai ‘The Top 1%’ ini telah mengumpul sehingga lebih USD930 billion daripada segi keuntungan.

Dalam sekelip mata, pandemik yang memiskinkan majoriti rakyat dunia membawa keuntungan berlipat ganda buat sebilangan kecil yang lain.

Begitu juga di negara kita. Kita tidak perlukan sebarang ijazah mahupun PhD untuk memahami siapa yang untung dan rugi daripada pandemik ini, dan bagaimana ia telah digunakan sebagai strategi mengaut keuntungan. Di Malaysia, keuntungan kuasa politik tampak lebih ketara. Kerajaan yang ada hari ini telah memperoleh durian runtuh.

Pandemik telah digunakan untuk mengekalkan kuasa tanpa melalui sebarang proses demokrasi, dengan perlembagaan dan doktrin pengasingan kuasa kita sekarang dimandulkan.

Darurat atas apa namanya pun – darurat kesihatan, darurat politik, darurat bencana; tidak dimulakan dengan niat untuk mengawal wabak, sebaliknya menangguhkan kemelut politik yang dihadapi kerajaan.

Untuk berlaku adil, kita juga tidak menolak tepi hakikat teman-teman kita di kerusi pembangkang juga tampak menggunakan pandemik untuk mengolah strategi politik dalam merebut kuasa. Ini adalah situasi yang sedang menguji etika dan moral kita. Dan kita harus menelan hakikat ini.

Meletakkan hal-hal di atas sebagai perspektif untuk menilai situasi kita hari ini, boleh dikatakan kalau jalan keluar buat kita dalam berhadapan impak pandemik iaitu keazaman untuk berubah seperti yang disebut awal dalam tulisan yang lepas, sedang berhadapan dengan keazaman untuk tidak berubah oleh orang-orang yang berkuasa. Perubahan adalah musuh kepada mereka. Andai perubahan diterima oleh mereka, mereka ini akan kalah.

Keazaman untuk tidak berubah ini wujud secara tersirat, berselindung di sebalik kekeliruan dan kebuntuan masyarakat menilai keadaan semasa.

Keazaman untuk tidak berubah ini boleh difahami sebagai sebuah keazaman untuk melihat situasi hari ini kekal. Pandemik ini menguntungkan, maka ia tidak harus tamat begitu sahaja.

Selagi mana ia mampu terus menyumbang kepada kepentingan sama ada ringgit dan dollar mahupun kuasa dan politik, selagi itulah ia akan kekal di situ.

Mungkin bunyinya agak melampau – namun di mata sesetengah pandemic profiteer ini, nyawa masyarakat akhirnya hanyalah angka dalam statistik, yang kadangkala turut melambangkan jumlah ringgit dan dollar.

Pandemic profiteer ini akan terus-menerus muncul seolah-olah mampu untuk membawa penyelesaian, namun yang dilakukan hanyalah menangguhkan krisis yang lebih besar. Menyelesaikan masalah lama dengan menimbulkan masalah baharu.

Kita bukan hidup dalam zaman gelap. Kita hidup di dalam zaman yang disifatkan ramai pemikir sebagai kemuncak peradaban. Kita mempunyai kapasiti yang cukup untuk menyelesaikan masalah sejagat. Adalah tidak logik untuk difikirkan, selepas setahun sejak pandemik ini melanda, kita masih gagal untuk menetapkan SOP awam, apa lagi menguruskan kapasiti rawatan.

Apakah kita tidak mempelajari apa-apa sejak setahun lalu?

Akhirnya untuk keluar daripada krisis ini, keazaman untuk berubah harus muncul lebih kuat daripada keazaman untuk tidak berubah.

Apabila masyarakat disuruh akur dengan percaturan politik penguasa, kita tidak harus diam. Apabila kita dimangsakan oleh ekonomi modal, kita harus berani menongkah arusnya. Hanya keazaman untuk berubah dapat mengeluarkan kita semua daripada penjara krisis ini.

BAHAGIAN PERTAMA :Keazaman untuk tidak berubah