Kebajikan pekerja tempatan, langkah mitigasi alam sekitar perlu diberi perhatian

Kebajikan pekerja tempatan, langkah mitigasi alam sekitar perlu diberi perhatian

Ekoran pembatalan projek pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), pihak kerajaan digesa memberi perhatian kepada kebajikan pekerja tempatan yang kehilangan sumber pendapatan dan menjalankan langkah-langkah mitigasi terhadap kawasan pembinaan yang bakal ditinggalkan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ketari Young Syefura Othman berkata,tindakan pembatalan disokong berdasarkan kos projek yang terlampau tinggi dan beban kewangan semasa Kerajaan yang tinggi.

Namun begitu, katanya,  kerajaan perlu sedar bahawa pembatalan projek ini secara langsung telah memberi kesan kepada hampir 2,000 pekerja yang hilang sumber pendapatan.

“Amatlah dikesali apabila dianggarkan lebih 1,000 orang pekerja terdiri daripada warga Malaysia dan anak tempatan Bentong sendiri.

“Kerajaan juga perlu memberi perhatian yang khusus kepada kebajikan pekerja tempatan yang terkesan daripada pembatalan projek ini termasuklah memastikan mereka diberi pampasan kewangan yang sewajarnya dan bantuan untuk mendapatkan pekerjaan yang baharu,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Kerajaan juga, katanya, perlu memastikan bahawa pihak kontraktor atau mana-mana pihak berwajib melakukan langkah-langkah mitigasi dan pemulihan terhadap tapak-tapak pembinaan yang akan ditinggalkan dengan secepat mungkin.

Ini kerana, tapak-tapak pembinaan yang ada sekarang berada di kawasan-kawasan kritikal bagi alam semulajadi kawasan Bentong.

“Amatlah dikhuatiri sekiranya sebarang bencana berlaku terutamanya ketika fasa monsun Pantai Timur yang akan tiba kelak,” ujarnya.

Katanya lagi, Kerajaan perlu peka bahawa selepas pembatalan dan pemberhentian projek pembinaan yang besar seperti ECRL, ada juga langkah-langkah penting yang perlu dilakukan terutamanya yang melibatkan kesan ekonomi, sosial dan alam sekitar.

 

7.5
OVERALL SCORE
: 10.0
1 user vote x 5.0