Kebajikan petani, nelayan dapat perhatian Dewan Rakyat

Kebajikan petani, nelayan dapat perhatian Dewan Rakyat

Kebajikan golongan nelayan dan petani jelas menjadi perhatian ramai wakil rakyat apabila ia menjadi topik utama yang diutarakan pada sesi perbahasan di Dewan Rakyat, hari ini.

Rata-rata anggota Parlimen kerajaan mahupun dari blok pembangkang menunjukkan keprihatinan mereka terhadap golongan ini dengan turut mengambil kira harga komoditi yang menurun di pasaran.

Datuk Masir Kujat (PRS-Sri Aman) berkata petani dan nelayan dengan pendapatan hanya bergantung kepada hasil tani dan tangkapan laut akan terjejas sewaktu musim tengkujuh.

“Mereka amat mengharapkan agar kerajaan memberikan subsidi seperti yang disebut rakan lain (anggota Parlimen). Semalam Yang Berhormat Port Dickson (Datuk Seri Anwar Ibrahim) bersetuju bahawa subsidi ini perlu dinilai semula atau ditambah untuk diberikan kepada petani seluruh Malaysia.

“Pada hemat saya, tidak mustahil sekiranya kerajaan Pakatan Harapan (PH) memberi elaun bagi menggantikan masa mereka yang tidak dapat menoreh getah semasa musim tengkujuh. Di Sri Aman sendiri, nelayan, petani dan segelintir pekebun kecil amat sukar untuk menyara hidup kerana banyak harga komoditi turun secara mendadak,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2019 peringkat dasar.

Sementara itu, Datuk C.Sivarraajh (BN-Cameron Highlands) pula menyuarakan bantahannya terhadap pengurangan beberapa bentuk subsidi kepada pekebun kecil, nelayan dan petani.

“Bantuan musim tengkujuh bagi pekebun kecil dan penoreh getah tidak mendapat sebarang peruntukan walhal Kerajaan Barisan Nasional dalam Belanjawan 2018 memperuntukan sejumlah RM261 juta.

“Kawasan saya Cameron Highlands merupakan antara penyumbang utama kepada kemampanan sektor pertanian negara, malah tidak kurang juga sumbangan Cameron Highlands terhadap agenda ‘National Food Security,” katanya.

Mordi Anak Bimol (PH-Mas Gading) pula menyeru kerajaan agar terus membantu usahawan desa serta pekebun kecil yang kini terkapai-kapai setelah peralihan kuasa berlaku.

“Di kawasan saya, saya nampak terdapat anak muda yang begitu serius dengan penanaman sayur-sayuran seperti timun, terung dan petola. Apa yang mereka perlukan sekarang ialah suntikan dana untuk membeli jentera untuk tujuan pertanian.

“Saya berharap usaha ke arah pemerkasaan anak muda khususnya dalam sektor pertanian di luar bandar terus diberi perhatian,” katanya.

Menerusi Belanjawan 2019, sektor pertanian menerima peruntukan RM47 juta untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) produktiviti benih, bijirin dan buah-buahan; RM18 juta bagi automasi industri agromakanan dan RM52 juta untuk pelaksanaan program keusahawanan dan latihan industri tani.

Bagaimanapun, insentif khas untuk pesawah, petani, peladang, nelayan, pekebun kecil, penternak dan penoreh getah tidak dinyatakan, termasuk insentif seperti baja dan input pengeluaran golongan terbabit.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub sebelum ini dilaporkan berkata biarpun terdapat pengurangan peruntukan, pihaknya akan melaksanakan subsidi bersasar kepada golongan itu bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak menerima subsidi berkenaan.

— BERNAMA