Kebajikan rakyat, pembangunan Islam terus kukuh di Pulau Pinang

Kebajikan rakyat, pembangunan Islam terus kukuh di Pulau Pinang

Aspek negeri berkebajikan dan pembangunan Islam terus menjadi teras utama di Pulau Pinang di bawah pentadbiran baru sejak 2008.

Aspek negeri berkebajikan dan pembangunan Islam terus menjadi teras utama di Pulau Pinang di bawah pentadbiran baru sejak 2008.

Ketua Menteri, Lim Guan Eng berkata melalui program Agenda Ekonomi Saksama (AES) dan Program i-Sejahtera, bantuan kewangan secara wang tunai sebanyak RM 412.63 juta diberikan kepada 1.6 juta rakyat Pulau Pinang sejak tahun 2008.

“Ia merangkumi Warga Emas, bayi, OKU, Ibu Tunggal, Ibu yang tidak bekerja, pelajar, pemandu teksi, operator bas sekolah berdaftar, penarik beca, bantuan pukat kepada nelayan.

“RM 1,000 turut di beri kepada mahasiswa-mahasiswi yang mendapat tempat di IPT tempatan,” katanya dalam ucapan sempena istiadat mengangkat sumpah pelantikan Yang Dipertua negeri Pulau Pinang hari ini.

Menurutnya AES merupakan pelaksanaan universal basic income (pendapatan asas sejagat) pertama di Malaysia.

“Menerusi konsep ini Kerajaan Negeri menghapuskan miskin tegar dengan menjaminkan setiap keluarga menerima RM790 sebulan.

“Bagi keluarga yang menerima pendapatan yang kurang daripada RM790 sebulan, Kerajaan Negeri akan menambahnya sehingga cukup RM790 setiap bulan.

“Lebih RM23.2 juta telah dibelanjakan untuk program AES ini sejak ia dimulai pada tahun 2014,” katanya.

Kerajaan Negeri juga katanya prihatin dengan bebanan kewangan yang ditanggung oleh rakyat yang berpendapatan rendah dalam keadaan ekonomi yang merosot dan inflasi tinggi yang naik 5.1% pada bulan Mac.

“Lebih-lebih lagi dengan Cukai GST. Kerajaan Negeri memberikan potongan cukai pintu sebanyak 6% dan pengecualian cukai pintu penuh bagi rumah kos rendah, rumah kos sederhana rendah dan rumah kampung/bertanah pada tahun 2017.

“Dengan menambah penyerapan bayaran GST oleh kerajaan tempatan, ini bermakna kedua-dua Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan Majlis Perbandaran Seberang Perai akan menanggung RM55 juta untuk manfaat rakyat,” katanya.

Berkaitan pembangunan Islam di Pulau Pinang pula katanya kerajaan negeri mendokong kedudukannya sebagai agama Persekutuan tidak diabaikan apabila jumlah peruntukan untuk Hal Ehwal Agama Islam naik 100% selepas tahun 2008 kepada RM457 juta untuk tempoh 2008-2016.

“Kompleks Kehakiman dan Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang di Jalan Scotland, atas tanah Kerajaan Negeri bernilai RM80 juta dan perbelanjaan kos pembinaan RM33 juta oleh Kerajaan Persekutuan telah siap dibina untuk kemudahan seluruh masyarakat Islam,” katanya.

Pada Majlis itu, Tun Dato’ Seri Utama (Dr.) Haji Abdul Rahman bin Haji Abbas dilantik semula sebagai Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang.

Menurut Guan Eng kewibawaan beliau sebagai ketua negeri memang menyerlah dengan menjadi tunggak Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang paling lama dalam sejarah selama 16 tahun sejak mulai dilantik pada 1 Mei 2001.

“Kerajaan Negeri juga menjunjung kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di Pertuan Agung yang sudi memperkenankan lantikan Tuan Yang Terutama Tun dalam upacara penyerahan watikah di Istana Besar semalam,” katanya.

TAGS