Kebakaran asrama SMA Maahad Al-Islah, kerajaan Perak salur bantuan segera RM50,000

Asmuni ketika melawat tapak kebakaran SMA Maahad Al Islah.

Kebakaran yang menyebabkan kemusnahan asrama Sekolah Menengah Agama (SMA) Maahad Al-Islah, Sungai Lampam, Teluk Intan, pada Khamis lalu mendapat perhatian segera exco kerajaan negeri Perak.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan, Asmuni Alwi, yang melawat tapak kebakaran SMA tersebut semalam, menyatakan kerajaan negeri memberi sumbangan segera sebanyak RM50,000 bagi menampung baik pulih bangunan asrama yang musnah.

Jelas beliau lagi, kebakaran yang melibatkan bangunan asrama tiga tingkat tersebut mengakibatkan tingkat tiga bahagian atas musnah 60 peratus.

“Berita malang mengenai kebakaran ini hanya diketahui semasa sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak sedang berlangsung.

“Setelah perbincangan diadakan dengan Menteri Besar serta Pegawai Kewangan mengenai insiden ini, bantuan selanjutnya bergantung kepada keperluan yang ada.

“Dermawan serta pertubuhan bukan kerajaan boleh turut sama menghulurkan bantuan bagi meringankan beban yang ditanggung oleh pihak sekolah tersebut,” ujarnya lagi.

Tambah Asmuni lagi, kebakaran tersebut telah berjaya dikawal tanpa melibatkan kemalangan jiwa.

Namun begitu tegasnya, adalah menjadi harapan agar siasatan lanjut dapat dilakukan oleh pihak yang bertanggungjawab terhadap insiden ini.

Malah katanya, adalah menjadi harapan yang amat tinggi supaya insiden malang ini tidak akan berulang lagi pada masa hadapan.

Pihak sekolah juga melancarkan tabung kutipan bencana tersebut bagi memberi ruang kepada orang ramai untuk menghulurkan bantuan dan sumbangan.