Kebakaran pusat tahfiz: DAP rakam takziah

Kebakaran pusat tahfiz: DAP rakam takziah

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menzahirkan rasa dukacita dan mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang telah meragut nyawa lebih 25 jiwa.

“Bagi pihak DAP, saya mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa yang terlibat. Semoga kita semua dikurniakan kesabaran dalam menerima ketentuan takdir, serta diberikan kekuatan untuk menempuhi hari-hari mendatang.

“Tidak ada kata-kata yang boleh diucapkan untuk menggambarkan kesedihan kita semua ketika menerima khabar tragedi kebakaran yang meragut nyawa anak-anak Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kuala Lumpur awal pagi tadi.

“Semoga roh anak-anak yang baik ini dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama arwah para syuhada dan solehin,” katanya dipetik Roketkini.

Beliau berharap supaya hasil siasatan ke atas punca kebakaran itu akan memberi pengajaran dalam soal kebertanggungjawaban dan pengurusan yang baik, demi mengelakkan tragedi seperti itu berulang.

{loadposition myposition}

Dalam laporan media terdahulu, Timbalan Ketua Pengarah Bomba, Datuk Saimon Jahid dilapor berkata kejadian malang terbabit disyaki berpunca daripada ubat nyamuk atau litar pintas.

Menurutnya, semua mangsa maut kerana jeriji tingkap dikunci.

Sementara itu, Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Wilayah Persekutuan, Tan Kok Wai yang juga adalah pemangku Pengerusi DAP ketika dihubungi berkata beliau merasa duka cita atas tragedi yang berlaku.

“Saya berasa amat sedih atas yang berlaku dan berharap keluarga mangsa tabah menghadapi dugaan tersebut,” ujarnya.

Terdahulu awal pagi ini, Kok Wai yang juga Ahli Parlimen Cheras ditemani Presiden Pakatan Harapan,  Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bersama-sama kepimpinan Pakatan Harapan meninjau lokasi kejadian.

CATEGORIES
TAGS