Malaysia Dateline

Kebakaran pusat tahfiz dedah masalah keciciran dan penagihan dadah remaja

Tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang telah meragut 23 nyawa minggu lalu dan penahanan tujuh suspek yang dipercayai terlibat membakar pusat tahfiz itu menimbulkan dua persoalan penting iaitu masalah keciciran pelajar dan ketagihan dadah di kalangan remaja.

Sehubungan itu, ketua pembangkang parlimen Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mahu
maklumat keciciran pelajar didedahkan kepada umum dan perbincangan menyeluruh dibuat Kementerian Dalam Negeri (KDN) membabitkan semua pihak berkepentingan, termasuk badan bukan kerajaan (NGO) bagi membanteras masalah penyalahgunaan dadah.

“Terkait kes penangkapan tujuh anak muda Melayu; beberapa persoalan berbangkit yang amat memprihatinkan.

“Pertama, rakyat terdedah dengan maklumat anak-anak yang tidak ke sekolah. Apakah selama ini kita memperolehi maklumat keciciran yang sebenar?

“Dan kedua, yang lebih serius adalah masalah penyalahgunaan dadah. Masalah dadah telah merebak ke seluruh pelosok desa dan kota. Hampir setiap keluarga terkesan secara langsung atau melalui kenalan mereka. Jumlah penagih terutama di kalangan masyarakat Melayu dan India mencecah ratusan ribu,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah, dadah begitu mudah diperolehi walaupun terdapat undang-undang keras untuk membanterasnya.

Walaupun penagih dan pengedar diberkas namun beliau hairan mengapa jarang sekali kedengaran tauke atau saudagar besar dadah didakwa.

“Pihak polis malah telah bertindak terhadap Jabatan Narkotik PDRM; dan kita masih menantikan maklumat lanjut,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyarankan KDN mengundang semua wakil parti politik, NGO dan lain-lain untuk mengadakan perbincangan mengenai masalah dadah dalam negeri.

“Janganlah hanya menumpukan perhatian terhadap tujuh pemuda yang disiasat polis. Bincang segera punca meningkat jenayah dalam negara iaitu penyalahgunaan dadah,” tegas beliau.

Dr Wan Azizah yang juga Presiden Pakatan Harapan juga mengucapkan tahniah di atas kepantasan polis dan bomba menjalankan siasatan terhadap tragedi tersebut.

“Kini terserah kepada proses peradilan dalam menentukan kesalahan dan hukuman yang setimpal terhadap yang tertuduh. Kami juga menghargai khidmat staf perubatan HKL, pasukan bomba dan semua pihak yang membantu,” katanya.