Malaysia Dateline

Kebangkitan Hamzah petanda hayat politik Mahiaddin bakal terbenam seperti matahari pada waktu Maghrib

Tiga hari yang lalu, Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dinamakan sebagai Ketua Pembangkang.

Pelantikan ini pelik kerana beliau hanya Setiausaha Agung Bersatu dan Perikatan Nasional (PN).

Presiden Bersatu merangkap pengerusi PN ialah Tan Sri Mahiaddin Md Yasin manakala Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula ialah presiden Pas dan Timbalan Pengerusi PN.

Daripada sejumlah 73 kerusi Parlimen yang dimenangi oleh PN, Pas sahaja mempunyai 49 Ahli Parlimen.

Perangkaan ini melayakkan Hadi menjadi ketua pembangkang, bukannya ahli dari Bersatu.

Amalan biasa adalah untuk melantik ketua parti atau ketua pakatan yang duduk di blok pembangkang.

Amalan ini berbeza daripada amalan blok pembangkang terdahulu di bawah Pakatan Harapan.

Rata-rata barisan kepimpinan Bersatu pula menyambut baik pencalonan Hamzah sebagai ketua pembangkang.

Ahli Parlimen Machang merangkap Ketua Wira Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menyifatkan penamaan Hamzah sebagai ‘tindakan berani’ PN.

Adakah ia benar-benar tindakan berani PN? Hanya waktu yang boleh membuktikan kebenaran dalam kenyataan tersebut. Wallahua’lam beeshawab.

Walau bagaimanapun apa yang pasti adalah kebangkitan Hamzah petanda hayat politik Mahiaddin bakal terbenam seperti matahari pada waktu Maghrib.

Di bawah pentadbiran Mahiaddin sebelum ini pun, masyarakat umum telah melihat kelicikan Hamzah untuk membendung kebangkitan mantan Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Kedua-dua tokoh berasal dari Umno. Azmin mengetuai kumpulan yang masuk Bersatu setelah keluar PKR. Hamzah pula merupakanantara pemimpin yang keluar Umno dan menyertai Bersatu.

Kedua-duanya mempunyai cita-cita untuk menjadi perdana menteri. Kegagalan Azmin mempertahankan kerusi Gombak menguburkan impiannya itu.

Sekiranya PN menang di dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 maka hasrat Hamzah untuk menjadi penghuni Sri Perdana akan tercapai.

Usaha ke arah itu sudah pun bermula apabila Mahiaddin menolak tawaran Yang di-Pertuan Agong untuk mendirikan Kerajaan Perpaduan bersama Pakatan Harapan.

Mahiaddin berkeras tidak mahu bekerjasama dengan Pakatan Harapan meskipun mereka bersama Pakatan sebelum ini.

Semua parti lebih selesa beroperasi tanpa kekangan dengan menjadi sebahagian daripada kerajaan. Ini juga pengalaman Bersatu.

Tindakan Mahiaddin menolak tawaran Agong menidakkan peluang ini kepada Bersatu dan Perikatan Nasional.

Justeru itu, penamaan Hamzah sebagai Ketua Pembangkang adalah tindakan berani kumpulan dalam Bersatu yang menolak kepimpinan Mahiaddin Yasin.

Dengan ini, ada benarnya juga kenyataan Mahiaddin sebelum PRU15 bahawa PRU tersebut adalah yang terakhir buatnya.

Cuma ketika itu, beliau tidak menjangka bahawa Hamzah akan membuka langkah yang akan menamatkan kerjaya politiknya.

Perkembangan ini menimbulkan persoalan mengenai kestabilan kerajaan sekiranya ia ditubuhkan oleh Perikatan Nasional.