Kebanjiran ‘ikan bandaraya’ jejaskan habitat, pendapatan nelayan darat

Kebanjiran ‘ikan bandaraya’  jejaskan habitat, pendapatan nelayan darat

Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menyokong sepenuhnya maklum balas Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) yang menyarankan agar orang ramai tidak melepaskan atau membuang spesies ikan asing ke perairan umum.

Ini adalah bagi mengelak kesan dari aktiviti tersebut yang boleh menjejaskan biodiversiti spesies ikan tempatan.

Demikian dinyatakan oleh Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil dalam satu kenyataan semalam.

Amazon Sailin Catfish

Jelasnya lagi, ikan bandaraya atau tombot yang dikenali sebagai ‘ Amazon Sailin Catfish ‘ merupakan spesies ikan yang sangat popular untuk dibela dalam akuarium kerana sifat semulajadinya yang mampu membersihkan akuarium maupun tangki dengan memakan alga serta saki-baki makanan ikan dan ikan yang mati.

“Susulan dari itu, peningkatan populasi ikan ini disebabkan ianya telah dilepaskan ke perairan umum yang memberi kesan jangka pendek dan jangka panjang seperti kerosakan habitat perikanan, persekitaran akuatik dan biodiversiti ikan air tawar dalam negara.

“Ia juga menjejaskan pendapatan khususnya bagi nelayan darat.

“Kebanjiran populasi ikan bandaraya di perairan umum negara turut telah menjejaskan pendapatan nelayan pantai barat dengan pengurangan hasil tangkapan dan kerosakan pukat, ” ujarnya.

Tegas Faiz lagi, ikan tersebut juga menjejaskan ekosistem sungai di mana ianya didapati memakan tumbuhan akuatik yang diperlukan bagi beberapa spesies ikan air tawar untuk habitat pembiakannya.

Selain dari itu katanya, ikan bandaraya juga merupakan pemangsa kepada larva ikan di perairan berkenaan dan seterusnya menjejaskan kelestarian populasi ikan air tawar tempatan.

“Walau bagaimana pun, pada ketika ini tiada data berkenaan populasi ikan tersebut yang telah dicatatkan.

“LKIM pada masa yang sama menyokong saranan DOF cadangan pindaan kaedah-kaedah Peraturan Perikanan(sungai) bagi mengelakkan keadaan ini berterusan serta menjamin kelsetarian sumber perikanan darat terpelihara.

“Bahkan, dimaklumkan satu kajian mengenai isu kebanjiran ikan bandaraya akan dilakukan oleh DOF dan Fisheries Research Institute (FRI) dalam masa terdekat, ” tambahnya lagi.