Malaysia Dateline

Kebanjiran warga asing di Pulau Pinang penyebab kemelut Urban Malaria

Ekoran kebanjiran warga asing di pelbagai sektor ekonomi yang tidak diketahui status kesihatan, Pengarah Kesihatan Pulau Pinang Datuk Dr Ma’arof Sudin memaklumkan negeri itu kini menghadapi kemelut Urban Malaria.

Beliau berkata, ini disebabkan ada pekerja asing yang tidak diberitahu status kesihatan mereka.

Disebabkan itu, beliau berkata, majikan sektor swasta yang mempunyai pekerja warga asing perlu memberikan maklumat pekerja mereka dari negara endemik malaria kepada Pejabat Kesihatan Daerah berdekatan supaya pihaknya mempunyai rekod.

Semua pekerja asing yang bekerja di Malaysia juga seharusnya melalui pemeriksaan perubatan termasuk saringan malaria mengikut polisi yang ditetapkan oleh kerajaan, katanya.

Selain itu, penduduk yang tinggal atau mempunyai sejarah perjalanan ke kawasan berisiko malaria atau ke negara endemik malaria perlu mendapatkan rawatan segera di klinik atau hospital berdekatan.

Terutamanya kepada golongan yang mengalami gejala seperti demam, sejuk menggigil, berpeluh dan lemah tubuh badan supaya rawatan awal dapat diberikan.

“Antara negara-negara endemik malaria adalah Indonesia, Filipina, Myanmar, Papua New Guinea, Bangladesh, Pakistan, India, Nigeria dan Congo,” katanya semasa berucap sempena Sambutan Hari Malaria Sedunia Peringkat Pulau Pinang.

Sementara itu, Ma’arof berkata pihaknya juga sentiasa mengambil langkah kesiapsiagaan, pengesanan kes secara aktif, pemerkasaan aktiviti pengawasan dan kawalan serta pendidikan kesihatan dalam kalangan komuniti, pertubuhan bukan kerajaan dan syarikat swasta untuk mengawal sebaik mungkin jangkitan malaria yang diimport dari negara endemik.