Kebanyakan maklumat surat layang tidak tepat – SPRM

Kebanyakan maklumat surat layang tidak tepat – SPRM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang mendapati kebanyakan maklumat di dalam surat layang yang diterimanya adalah tidak tepat.

Timbalan Pengarah Operasi SPRM Negeri Pahang Ab Munien Ibrahim berkata, pihaknya mendapati kebanyakan surat layang daripada individu enggan dikenali itu dibuat berdasarkan pendapat peribadi individu berkenaan.

Namun, ada maklumat yang diberikan betul…sebagai pihak berkuasa, kami akan tetap menjalankan siasatan jika tuduhan itu berasas, katanya pada sidang media selepas majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Peringkat Pertubuhan Peladang (PP) Pahang di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (Pasfa) Datuk Mustaffar Kamal Ab Hamid dan Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Lembaga Pertubuhan Peladang Malaysia Hamzah Bahari.

Seramai 236 pengerusi dan anggota jemaah pengarahnya telah berikrar dan menandatangani IBR sambil disaksikan oleh Ab Munien pada majlis berkenaan.

Ab Munien berkata kebanyakan surat layang itu dihantar berdasarkan syak wasangka, rasa tidak berpuas hati dalam kalangan kakitangan bawahan dan berlaku semasa kenaikan pangkat dalam sesuatu jabatan.

Dalam pada itu, beliau berharap individu yang memberikan maklumat kepada pihaknya dapat memberikan kerjasama sepenuhnya dalam melengkapkan siasatan SPRM.

“Apabila dipanggil (SPRM), janganlah takut…kita sepatutnya sentiasa bersedia membantu SPRM menjalankan siasatan. Cara yang terbaik jika mempunyai maklumat ialah datang ke pejabat SPRM untuk membuat aduan, ini sudah semestinya memudahkan tugas kami,” katanya.

Sementara itu, Hamzah berkata Pertubuhan Peladang mengambil insiatif IBR bagi meningkatkan keyakinan masyarakat kepada agensi berkenaan.

Kita tidak dapat lepas dari perhatian kerana Pertubuhan Peladang merupakan agensi yang mengagihkan geran kerajaan dan ini melibatkan wang rakyat. Setakat ini, tiada kes rasuah dalam agensi kita, namun ada berlaku kesilapan dari segi prosedur operasi standard dan difahamkan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya.