Kebanyakan tuduhan petisyen gabungan NGO ke atas FGV telah diperbetulkan

Kebanyakan tuduhan petisyen gabungan NGO  ke atas FGV telah diperbetulkan

– FGV Holdings Bhd hari ini berkata kebanyakan tuduhan yang dibuat terhadap syarikat itu oleh gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam satu petisyen baru-baru ini telah diperbetulkan, manakala satu isu berkaitan dengan pengesahan pekerja asing di Sabah masih berterusan.

Syarikat itu berkata pembetulan itu dilakukan dalam tempoh bermula Disember 2018, dan pengesahan pekerja asing di Sabah dijangka selesai pada akhir 2019.

FGV dalam satu kenyataan hari ini berkata petisyen tersebut, yang memetik beberapa sumber, termasuklah artikel dalam Wall Street Journal (WSJ) yang diterbitkan pada 26 Julai, 2015.

“Beberapa tuduhan itu sememangnya adalah tepat dari segi fakta pada masa itu,” kata syarikat tersebut.

Petisyen yang diserahkan oleh gabungan NGO itu yang bertarikh 15 Ogos, 2019 ditujukan kepada Pemangku Pesuruhjaya United States Customs and Border Protection (CBP).

Mengenai pengesahan pekerja asing di Sabah, FGV berkata ia sedang mengambil langkah-langkah yang perlu, bagaimanapun, ini memerlukan penglibatan urus di peringkat kerajaan dan membabitkan perubahan dasar.

Syarikat perladangan itu berkata, ia juga merancang melaksanakan latihan komprehensif yang melibatkan audit bebas ke atas keseluruhan proses dan prosedur pengambilan pekerja buruh kumpulan yang dijangka bermula beberapa minggu lagi.

“Perjanjian dengan pihak ketiga bebas itu sedang dimuktamadkan dan FGV akan membuat pengumuman pada masa yang sesuai,” kata syarikat itu.

Pada Mac 2019, FGV berkata ia menyemak semula proses pengambilan pekerja asingnya dan melantik 13 agensi pekerjaan baharu bagi Indonesia dan India.

“Kesemua agensi pengambilan pekerja ini dilantik menerusi proses tender terbuka. Setiap agensi telah disaring menerusi proses yang ketat dan terlibat di bawah terma kontrak baharu termasuk perlindungan hak-hak pekerja asing. FGV tidak lagi menggunakan perkhidmatan kontraktor yang membekalkan buruh asing,” kata syarikat itu.

Pada September 2019, syarikat itu akan melantik pihak ketiga bebas untuk mengaudit dan mengesahkan setiap agensi pengambilan pekerja asing yang baru dilantik bagi memastikan mereka mematuhi sepenuhnya keperluan kumpulan.

Selain itu, FGV juga sedang dalam proses melantik penilai pihak ketiga bebas untuk mengaudit dan mengesahkan proses Grievance Mechanism serta memetakan risiko dalam protokol kebolehjejakannya bagi minyak yang dikeluarkan oleh pembekal pihak ketiga, termasuk pekebun kecil dan estet, yang menyumbang 70 peratus daripada minyak sawit yang dikeluarkan kumpulan.

FGV memiliki 68 kilang di Malaysia dengan keluasaan ladang sawit 339,385 hektar.

Daripada jumlah ini, 290,829 hektar dipajak daripada Lembaga Kemajuan Tahun Persekutuan (Felda) dan dibangunkan sebagai sebahagian daripada program pembangunan pertanian negara lebih daripada 30 tahun lepas.

Satu pertiga daripada pengeluaran semasa FGV kira-kira tiga juta tan metrik dihasilkan di estet-estet ini dan FGV memiliki kawalan pengurusan sepenuhnya ke atas estet ini, manakala baki dua juta tan metrik dihasilkan oleh pekebun kecil dan estet secara persendirian atau terancang.

Syarikat itu berkata elemen utama dalam menangani isu tersebut yang dibangkitkan dalam petisyen itu adalah kebolehjejakan tandan buah segar (FBB) yang dibekalkan kepada kilang FGV.

“Pada masa ini, FGV memiliki 100 peratus kebolehjejakan kepada semua ladang kami sendiri dan kepada semua FFB yang dihasilkan oleh pekebun kecil yang merupakan sebahagian daripada skim terancang kerajaan. Ini menyumbang kira-kira 70 peratus daripada minyak sawit yang dihasilkan FGV.

“Daripada tambahan 30 peratus atau kira-kira satu juta tan metrik minyak yang dihasilkan daripada ladang yang dimiliki pekebun kecil dan estet persendirian, FGV kini boleh menjejak 66 peratus daripada kuantiti FFBnya kepada pembekal Tier 1 (estet asal dan pusat pengumpulan).

“Justeru itu, 86 peratus daripada minyak yang dihasilkan oleh kilang FGV kini bolehdijejak sepenuhnya kepada pembekal Tier 1,” kata syarikat itu.

Hasilnya, FGV berkata, ia dapat dan telah meningkatkan komitmennya kepada hak asasi manusia dan amalan pekerja yang baik kepada kebanyakan pembekal pekebun kecilnya dan ejen peniaga mereka.

Proses ini dimulakan pada Mac 2017, dikaji semula dan dipertingkatkan pada November 2018.

FGV berkata ia telah menekankankan bahawa mana-mana pembekal yang tidak mematuhi keperluannya pada standard buruh, hak asasi manusia dan kelestarian alam sekitar akan ditamatkan kontrak sekiranya mereka tidak dapat mengubah amalan mereka dalam tempoh masa yang sewajarnya.

Gabungan NGO itu mempersoalkan komitmen FGV untuk mengubah amalan, dengan menyatakan syarikat itu berulang kali gagal menunjukkan perubahan, walaupun artikel pertama dalam WSJ diterbitkan lebih empat tahun lepas.

“Beberapa perkara telah berubah dalam FGV sejak 2018. Sebagai contoh, Lembaga Pengarah keseluruhannya berbeza daripada lembaga pada 2015. Hari ini Lembaga Pengarah terdiri daripada pakar-pakar dan profesional.

“Pada November/Disember 2018 dan pada 2019, FGV juga melakukan beberapa perubahan dalam pasukan pengurusan kanannya. Lembaga dan pasukan pengurusan baharu ini komited untuk melakukan pembaharuan di semua peringkat, terutamanya dalam bahagian tadbir urus yang baik dan kelestarian,” kata syarikat itu.

— BERNAMA