Malaysia Dateline

Kebebasan bersuara tak sama dengan kebebasan memfitnah – Khalid

Isu orang muda yang menyampaikan fitnah menggunakan aplikasi TikTok dengan alasan ia adalah hak bersuara dan kebebasan untuk berkarya perlu dipandang serius oleh golongan pemimpin.

Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional, Khalid Samad menegaskan bahawa kebebasan bersuara tidak bermaksud perbuatan fitnah boleh dilakukan secara tidak terkawal terutama bagi golongan anak muda di TikTok.

Khalid dalam temubual Bicara Khalid Samad melihat fitnah ini banyak datang daripada pemimpin Pas dan diturunkan kepada anak muda.

“Fitnah ini saya pun hairanlah, dengar cerita banyak yang daripada pemimpin Pas yang bersuara.

“Eh kamu mahu golongan muda terlibat dalam fitnah ke? Sedangkan fitnah, kita semua tahu adalah dosa besar,” ujarnya.

Mengimbas kembali ketika berada dalam Pas, ayat Al-Quran yang sering digunakan ialah ‘fitnah itu lagi dahsyat daripada membunuh’.

Bagi Khalid, Pas seolah-olah memberi kebenaran untuk meneruskan fitnah dan jangan saman mereka.

“Kita tahulah ramai yang kena saman ini orang Pas, sebab mereka yang jadi kaki fitnah kerana nak naikkan sentimen.

“Tapi bila dipanggil polis, cakap komunis itu ada dalam Pakatan Harapan, dalam PH ada LGBT,” kata Khalid.

Kenyataan tersebut dilihat sebagai tidak bertanggungjawab walaupun datang daripada ulama dan tindakan itu dikatakan menjadi pengasas budaya politik fitnah.

“Orang Pas panggil dia sebagai bapa perpaduan, saya panggil dia sebagai bapa politik fitnah.

“Minta maaflah kerana ini yang berlaku pada zaman dia. Bila dia menonjol ke depan, banyak fitnah-fitnah yang disebarkan,” ujarnya.

Antara fitnah yang dilemparkan menurut Khalid adalah mengenai kebenaran untuk Israel membuka kedutaan di Malaysia.

“Baru-baru ini saya ada baca, kerajaan ini akan membenarkan Israel buka kedutaan, kerajaan ini bukan sekadar sokong Israel tapi akan sokong pembunuhan orang Palestin.

“Mereka berani bercakap begini kerana ulama menghalalkan, ini dikatakan ulama khusus jahat yang merosakkan ummah,” tambahnya lagi.

Bekas Menteri Wilayah itu juga menyatakan bahawa Pas adalah parti yang mengamalkan budaya fitnah dan mempopularkan amalan fitnah dan menggalakkan orang muda untuk terus melakukan fitnah.

Beliau menyatakan bagaimana Datuk Seri Abdul Hadi Awang pernah menulis buku mengenai Qazaf, tentang kes liwat yang melibat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tidak cukup empat saksi adil untuk menentukan kes tersebut.

“Dia yang menulis soal Qazaf, tapi apa yang jadi sekarang ini. Masa dalam Pas dulu, tak ada pemimpin Pas berani nak sebut mengenai Anwar melakukan liwat.

“Kerana tidak cukup empat saksi dan kita tahu ini kerana semua mainan politik,” jelasnya.