Malaysia Dateline

Kebebasan demokrasi tidak sehingga mengangkat senjata, kata Mohamad

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu mengingatkan kebebasan demokrasi yang dikecapi rakyat tidak mendorong generasi muda untuk ‘mengangkat senjata’ dan kerajaan amat tegas dalam memastikan keamanan dan kedamaian di negara ini.

Beliau berkata, sejak kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerajaan terdahulu, rakyat masih lagi tidak dapat merasai perubahan dalam bentuk ‘rule of law’ (memerintah mengikut undang-undang).

Antaranya beliau menyentuh mengenai kebebasan berhimpun yang mana kabinet katanya, telah melonggarkan permohonan untuk mengadakan perhimpunan daripada 10 hari kepada 7 hari.

“Perubahan dibuat sekarang rakyat belum merasainya seperti  perubahan dalam bentu ‘rule of law’ .

“Kabinet dua minggu lalu telah buat keputusan jika nak berhimpun secara aman perlu mohon permit dalam tempoh 7 hari bukan lagi 10 hari.

“Jika nak bercakap, membantah silakan…cuma kita pantau jangan ada  unsur radikal,Isis, pengeboman dan persenjataan atau sebagainya kita pantau keras sekarang ini, kerana negara dalam keadaan aman dan amat berat jika keganasan berlaku di negara kita.

“Lihat beberapa negara yang sedang musnah sekarang ini seperti di Afghanistan, Iraq ,Syria Somalia Yaman dan sekarang bunuh membunuh berlaku di Libya.

“Di New Zealnd negara paling aman dalam indek keamanan dunia,  tetapi boleh berlaku pembunuhan di masjid begitu juga di Sri lanka pengeboman di gereja semua perbuatan ini amat malang berlaku. Ia berlaku kononnya di atas nama agama. Inilah yang kita perlu bendung,

“Kebebasan demokrasi digunakan sebaiknya tetapi jangan sesekali kita mendorong anak muda mengangkat senjata,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Media yang diadakan pada Selasa.