Kebebasan media di bawah kerajaan PH memakan diri?

Kebebasan media di bawah kerajaan PH memakan diri?

WAWANCARA. Menghampiri genap setahun pentadbiran baharu kerajaan Pakatan Harapan (PH), banyak analisis dan penilaian dikemukakan. Terdapat kritikan dan teguran meluas terhadap prestasi anggota kabinet, yang dikatakan masih belum mencapai tahap memuaskan atau tidak sepertimana diharapkan rakyat.

Namun, yang pasti, aspek kebebasan bersuara, terutama berkaitan kelonggaran terhadap media, mendapat pujian. Amalan demokrasi pasca 9 Mei 2018 secara umumnya, semakin terbuka dan kebebasan berekspresi kian menyerlah. Tiada lagi budaya takut yang dahulunya berkembang subur di bawah regim lama. Malah, ada pihak berpendapat, jaminan kebebasan media itu sudah memakan diri kerajaan sendiri apabila amalan fitnah, penyebaran berita palsu dan menimbulkan isu-isu sensitif daripada segi kaum dan agama, tambah merebak serta bermaharajalela.

Dalam masa sama, agensi-agensi media kerajaan, seperti RTM dan Bernama, didakwa gagal menyampaikan penerangan sebaiknya bagi pihak kerajaan dan kurang berfungsi untuk menyanggah serangan tidak berasas pembangkang. Kementerian Komunikasi dan Multimedia menjadi tumpuan kritikan atas kegagalan itu. Begitu juga dengan keberkesanan agensi penguatkuasa yang dikatakan seperti membiarkan budaya fitnah dan penyebaran berita palsu berleluasa.

Aktivis media bebas, AHMAD LUTFI OTHMAN, yang juga bekas editor dua majalah yang diharamkan KDN, iaitu Detik dan Wasilah, telah menemubual pensyarah kanan Sekolah Perdana, Universiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur, DR MAZLAN ALI, menjawab isu-isu berkaitan kebebasan media di bawah kerajaan PH.

AHMAD LUTFI: Malaysia sejak berdekad lamanya dikenali sebagai negara yang mengongkong dan menekan media. Tiada kebebasan akhbar di Malaysia. Selepas PRU14 yang bersejarah itu apakah Dr berpuas hati dengan kebebasan media di bawah kerajaan PH? Dan apakah jaminan kebebasan media ini baik dan bermanfaat kepada rakyat?

DR MAZLAN: Satu perubahan ketara yang berlaku di era pemerintahan Pakatan Harapan kini adalah peluang sama rata yang diberikan kepada ahli-ahli politik untuk mendapat liputan dan bersiaran di televisyen milik kerajaan.

Di media-media cetak dan online arus perdana pula, akhbar-akhbar sepert The New Straits Times, Berita Harian dan Utusan Malaysia masih menjalankan fungsinya seperti biasa, tiada tekanan atau rombakan secara paksa dilakukan pihak kerajaan sehinggakan kadangkala liputan yang diterima oleh Perdana Menteri adalah lebih kecil berbanding pemimpin-pemimpin pembangkang (Umno dan Pas) walaupun aktiviti Perdana Menteri bersifat rasmi dan melibatkan hubungan diplomatik di pentas antarabangsa.

Ciri-ciri kebebasan media di era PH kini sangat ketara perbezaannya, jauh lebih terbuka berbanding era pemerintahan BN dahulu.

Kebebasan dalam media sosial pula usahlah diperkatakan lagi sehingga kita dapat saksikan ruang media sosial kini digunakan secara besar-besaran terutamanya oleh pihak pembangkang untuk menyerang kerajaan PH.

Iltizam kerajaan PH untuk merealisasikan kebebasan media ini juga dapat dilihat dari usaha mereka memansuhkan Akta Anti-Berita Tidak Benar pada Ogos tahun lalu selepas kira-kira empat bulan diwartakan oleh kerajaan BN pada bulan April 2018.

Polisi kebebasan media oleh kerajaan PH di era Malaysia Baharu ini sebenarnya sangat baik untuk menyuburkan budaya demokrasi dan membuka ruang kebebasan yang lebih luas untuk rakyat bersuara.

Kebebasan media menjamin setiap rakyat berpeluang mendapat maklumat dan pelbagai sumber alternatif untuk membuat pilihan dalam kehidupan mereka.

Ia juga mampu membuka minda rakyat dan seterusnya akan mendorong ke arah wujudnya budaya masyarakat sivil seperti yang wujud di negara-negara maju.

AHMAD LUTFI: Namun begitu, banyak pihak pula mendakwa, daripada sisi negatifnya, media bebas boleh membawa kepada suburnya budaya fitnah, pembohongan dan penyebaran berita palsu. Dan ini semua boleh membawa masalah lain yang lebih besar kepada negara.

DR MAZLAN: Kebebasan media adalah suatu jaminan terhadap kelangsungan demokrasi dan kebebasan bersuara. Namun seperti juga bidang-bidang yang lain seperti perubatan, kejuruteraan dan lain-lain, kebebasan media mesti bergerak selari dengan etika dan budaya ketelusan.

Kebebasan media yang ditunjangi dengan nilai tidak bermoral, dengan motif sama ada mengejar keuntungan, daripada segi jualan dan rating, atau mengejar millage politik boleh mendorong ke arah suburnya budaya fitnah, pembohongan dan manipulasi.

Hakikatnya, dalam era kerajaan baharu kini, budaya fitnah dan pembohongan kini semakin meningkat naik disebabkan kawalan yang longgar oleh parti pemerintah sehinggakan isu-isu kaum dan agama dengan sewenang-wenangnya dimainkan untuk menimbulkan prasangka dan kebencian terhadap lawan politik masing- masing.

Saya menilai tahap budaya berpartisipasi dalam media dalam kalangan rakyat Malaysia masih di tahap yang rendah dan tidak setanding dengan amalan di negara-negara maju kerana keseimbangan di antara nilai etika dengan elemen pemberitaan dan maklumat sangat luas jurangnya.

Di negara ini, sesetengah pengamal media, penulis dan aktivis masih cenderung menyebarkan atau menerima berita-berita tidak sahih atau tidak benar, malah kadang-kadang bersifat fitnah tanpa rasa bersalah kepada masyarakat dan negara.

Pada masa yang sama individu-individu yang berpartisipasi dalam media ini pula yang menjadi penyebar dan penambah rencah dalam berita-berita palau dan bersifat fitnah ini.

AHMAD LUTFI: Apakah dengan cabaran yang mendesak itu, perlu PH atau proksinya menerbitkan sendiri akhbar atau stesen televisyen dan radio baharu, ataupun mengambil alih media sedia ada bagi menjelaskan dengan lebih tepat polisi atau program- program kerajaan baharu?

DR MAZLAN: Sebagai sebuah kerajaan yang mempunyai iltizam yang kuat terhadap pembaharuan sistem yang lebih telus dan adil, PH daripada segi sifatnya sebagai sebuah kerajaan tidak perlu menerbitkan akhbar dan stesen televisyen selain yang sudah ada iaitu RTM sebagai agensi penyiaran yang bertanggungjawab menyampaikan informasi dan dasar-dasar kerajaan kepada segenap lapisan masyarakat.

Selain itu, agensi penyiaran seperti RTM ini perlu ditambah baik dengan meningkatkan mutu penyampaian, teknikal dan keprofesionalan kakitangannya.

Namun PH dengan sifatnya sebagai sebuah kolisi politik boleh merencanakan penubuhan stesen televisye serta akhbar sendiri, dengan syarat ia tidak menggunakan dana kerajaan untuk beroperasi, sebaliknya bergerak di atas platform persendirian yang bersifat komersial.

Dengan adanya stesen televisyen dan akhbar sendiri, imbangan antara penyampaian maklumat akan lebih seimbang antara parti-parti kerajaan dengan parti-parti pembangkang.

Situasi ini akan memberi ruang dan peluang kepada rakyat untuk mengakses maklumat dan membuat pilihan politik.

AHMAD LUTFI: Dua agensi media kerajaan, iaitu RTM dan Bernama dikatakan masih sarat dengan kakitangan, termasuk peringkat atasan, yang masih cenderung dengan pentadbiran lama. Ia tidak menghairankan kerana di bawah regim lama, agensi ini menjadi lubuk Umno. Justeru, ia didakwa gagal berperanan untuk menyampaikan maklumat yang perlu diketahui rakyat, termasuk untuk menyanggah dakyah pembangkang.

DR MAZLAN: Antara polisi kerajaan BN sebelumnya adalah mempastikan ketua-ketua agensi penting dan strategik adalah mereka yang mempunyai tahap kesetiaan yang tinggi kepada kerajaan (BN), memahami polisi serta hala tuju kerajaan (BN) dan mempunyai iltizam yang sangat tinggi untuk mempertahankan dasar-dasar kerajaan (BN).

Justeru, sejak sekian lama, agensi-agensi penyiaran seperti RTM dan Bernama ini sebenarnya telah dimanipulasikan oleh parti-parti politik pemerintah untuk melaksanakan misi dan visi politik mereka terutamanya setiap kali menjelang pilihan raya.

Walaupun berlaku pertukaran kerajaan yang baru pada 10 Mei 2018, nampaknya sikap keterbukaan yang ditunjukkan oleh kerajaan PH dengan tidak melakukan rombakan segera ke atas pucuk pimpinan badan-badan penyiaran ini akhirnya memakan diri.

Kerajaan PH juga gagal mempastikan pucuk pimpinan dan ketua-ketua unit yang penting agensi-agensi ini agar memahami dasar dan hala huju kerajaan baharu, justeru agensi-agensi ini gagal melaksanakan misi sebaiknya untuk membantu kerajaan PH menyampaikan maklumat-maklumat penting yang perlu diketahui oleh rakyat.

AHMAD LUTFI: Balik semula kepada keberkesanan agensi kerajaan, seperti Bernama dan RTM, yang didakwa tidak mencapai tahap yang sepatutnya itu, mungkin Dr ada pandangan mengenainya dan peranan yang sepatutnya dimainkan oleh dua agensi media kerajaan yang penting itu?

DR MAZLAN: Selepas pembentukan kerajaan baharu pada 10 Mei 2018, saya sering juga diundang oleh dua media utama kerajaan iaitu RTM dan Bernama TV.

Dua badan penyiaran milik kerajaan ini nampaknya menjalankan tugas seperti biasa, iaitu menyalurkan maklumat-maklumat berkaitan dengan kerajaan seperti menghebahkan polisi-polisi dan juga laporan-laporan aktiviti anggota kerajaan dan Perdana Menteri.

Bagaimanapun, terdapat laporan dan rungutan bahawa hebahan-hebahan tersebut agak minimum dan tidak secara meluas sesuai dengan fungsinya sebagai badan penyiar milik kerajaan.

Ada kemungkinan dari keputusan proses demokrasi pada tanggal 9 Mei 2018 itu agak mengejutkan orang dan sebahagian dari pengurusan dan kakitangan RTM dan Bernama yang sudah berpuluh tahun di bawah pemerintahan BN itu mungkin memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan perubahan kerajaan, polisi dan hala tuju baharu negara.

Mungkin disebabkan sikap terbuka kerajaan PH dan tiadanya rombakan ke atas pengurusan badan penyiaran milik kerajaan ini di peringkat awal, RTM dan Bernama dilihat agak lambat dan tidak begitu agresif membantu kerajaan mempromosi serta memperbanyakkan program-program penerangan mengenai dasar-dasar kerajaan baharu kepada rakyat.

Saya percaya, badan-badan penyiaran kerajaan seperti RTM dan Bernama ini memerlukan kepimpinan yang memahami inspirasi kerajaan semasa untuk mempastikan mereka dapat berfungsi dengan sepatutnya, iaitu membantu kerajaan, dan dalam perkara ini peringkat kepimpinan tertinggi Kementerian Komunikasi dan Multimedia, iaitu menterinya sendiri perlu lebih proaktif agar mempastikan jentera-jentera di bawah kementeriannya dapat berfungsi seperti yang sepatutnya.

AHMAD LUTFI: Apakah Dr bersetuju, antara punca rakyat, khususnya orang Melayu tidak berpuas hati dengan kerajaan baharu adalah disebabkan kegagalan sistem penyampaian dan tidak berkesannya pemerintah menangani fitnah yang berleluasa serta penyebaran berita palsu. Atau Dr ada pandangan lain tentang faktor keresahan rakyat itu yang mula mempersoal secara terbuka prestasi kerajaan PH selama 11 bulan mentadbir?

DR MAZLAN: Tidak dapat dinafikan bahawa kegagalan pihak kerajaan PH khususnya Kementerian Komunikasi dan Multimedia bertindak awal ke atas kawalan jentera penerangan memberi kesan yang besar ke atas prestasi kerajaan.

Beberapa bulan sejak berkuasa, jentera-jentera penerangan seolah-olah dibiarkan menentukan hala tuju sendiri tanpa kawalan menteri dan walaupun ia dilihat baik, iaitu menunjukkan sikap terbuka kerajaan yang enggan melakukan kawalan ke atas media, namun sikap terbuka itu akhirnya memakan diri.

Kegagalan pucuk kepimpinan kementerian ini menyebabkan gejala fitnah terhadap kerajaan begitu berleluasa kerana tiada tindakan agresif dibuat oleh jentera-jentera penyiaran milik kerajaan untuk menjawab dan menutup fitnah-fitnah tersebut.

Propaganda pembangkang yang banyak memfokuskan isu-isu perkauman dan agama berjaya menarik sokongan orang Melayu dan naratif bahawa kerajaan PH adalah sebuah kerajaan yang dikuasai DAP dan dasar Malaysian Malaysia telah berlangsung di negara ini menjadi cukup berjaya dari hari ke hari. Dan ini mendorong parti-parti pembangkang menjadi lebih agresif dengan melancarkan serangan demi serangan ke atas kerajaan PH

Saya melihat cara penyampaian maklumat kerajaan perlu diperbaiki segera untuk mempastikan rakyat akan mendapat maklumat yang sebenar.

Kita memahami bahawa kegagalan kerajaan PH menunaikan janji-janji manifesto dan ketidakberkesanan beberapa polisi yang diperkenalkan juga menjadi salah satu punca ketidakpuasan rakyat terutama orang Melayu, namun kegagalan agensi-agensi penyiaran memainkan peranannya dengan lebih berkesan untuk membantu kerajaan telah memburukkan lagi keadaan.

AHMAD LUTFI: Pastinya Dr ada cadangan untuk menambahbaik fungsi dan peranan media di bawah kerajaan Malaysia baharu ini. Agar rakyat seluruhnya mendapat manfaat terbaik daripada dasar membebaskan media.

DR MAZLAN: Dalam misi keterbukaan kerajaan baharu Pakatan Harapan, pihak kementerian yang bertanggungjawab iaitu menterinya, seharusnya dapat mempastikan semua agensi-agensi penyiaran di bawahnya dapat berfungsi berdasarkan hala tuju kerajaan yang baharu.

Pihak kementerian, pertamanya, mesti mempastikan pucuk kepimpinan badan penyiaran milik kerajaan memahami dasar dan hala tuju kerajaan baharu tanpa kompromi. Syarat utama kejayaan sebuah kerajaan yang dipilih oleh rakyat adalah mempastikan rakyat menahami dan mendapat maklumat yang sebenar tentang kerajaan.

Institusi penyiaran sangat penting dan walaupun pada zaman kini peranan media sosial menjadi begitu penting, tetapi peranan RTM dan Bernama masih lagi penting dan sebahagian besar daripada rakyat masih bergantung kepada televisyen dan akhbar-akhbar cetak untuk mendapatkan maklumat pada setiap hari.

Setelah hampir setahun kerajaan PH, pihak Kementerian Komunikasi perlu menggandakan lagi aktiviti-aktiviti penyiaran kerana banyak daripada rancangan-rancangan dan program-program pembangunan kerajaan tidak sampai ke pengetahuan rakyat. Sedangkan pihak pembangkang yang kini menguasai media sosial nampaknya berjaya mengalihkan perhatian rakyat ke atas isu-isu yang ditimbulkan sehingga kerajaan PH gagal tiga kali berturut-turut dalam pilihan raya kecil yang diadakan mutakhir ini.

Isu-isu perkauman dan agama semakin berleluasa dimainkan parti-parti pembangkang dan dalam hal ini pihak Kementerian Komunikasi gagal mempastikan agensi-agensi penyiaran di bawahnya dapat memainkan peranan yang lebih efektif menangkis serangan-serangan yang lebih banyak bersifat negatif dan maklumat yang tidak benar.