Malaysia Dateline

Ahmad Lutfi Othman

Kebebasan media punah di bawah kerajaan tebuk atap PN

Lama saya tidak mengikuti perkembangan isu kebebasan bersuara negara kita. Apabila rejim BN tumbang, ingatkan antara pemulihan atau agenda pembaharuan utama adalah kebebasan bersuara, termasuk kebebasan media.

Saya rasa lega kerana perjuangan lama — terutama melalui Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) — menuntut kebebasan akhbar, khasnya memansuhkan semua peraturan karut-marut mengongkong dunia kewartawanan, diberi perhatian serius pentadbiran Mahathir.

Teringat zaman gelita alam kewartawanan politik sejak era 1980-an sehingga menyaksikan beberapa penerbitan saya diharamkan, buku politik saya dirampas, naik turun mahkamah, rumah digeledah dan ditangkap polis.

Permohonan mendapatkan permit penerbitan, lesen majalah-akhbar, bukan saja ditolak mentah-mentah tetapi tidak pernah dilayan sama sekali.

Kebetulan seminggu selepas permohonan pertama kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dibuat pada 1990, saya ditangkap Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Mungkin disebabkan rekod buruk tahanan tanpa bicara itu saya disenaraihitam oleh KDN.

Sebagai jalan keluar, saya nekad menerbitkan akhbar-majalah tanpa permit yang berdepan operasi rampasan dan tindakan mahkamah.

Malang sekali usaha mulia-berani kerajaan baru yang tertegak pada 10 Mei 2018 itu terbantut-terhenti apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) runtuh ekoran pengkhianatan. Kini di bawah kerajaan tebuk atap Perikatan Nasional (PN), punah segala impian.

Bukan sahaja kebebasan bersuara tidak dihormati, sidang Parlimen pun tidak dibenarkan. Apakah ini yang rakyat mahukan? Isu kebebasan media juga jarang mendapat perhatian rakyat.

Apakah kita akan terperosok kembali ke zaman gelap seperti dahulu? Apakah saya yang terlantar uzur ini perlu bangkit semula mempromosi kebebasan bersuara yang mulai pudar ini?

Kebebasan media adalah tiang seri demokrasi. Tanpanya, demokrasi akan pincang. Tapi ia mesti terus dituntut dan diperjuangkan. Elit politik selalunya akan bermusuh dengan media bebas dan berintegriti.

Usah harap mereka akan menghadiahkannya begitu sahaja. Walhal, media bebas amat diperlukan untuk memajukan negara.

Pemerintah juga – dan pastinya rakyat — beroleh manfaat besar daripada kebebasan media, tapi selalunya mereka jarang bersikap lapang dada dengan kritikan media.

Wartawan bebas sering dimusuhi pemerintah korup. Mereka takut dengan bayang-bayang sendiri.