Malaysia Dateline

Kebebasan media terhakis, Pemuda AMANAH solidariti bersama Astro Awani

Pemuda AMANAH melahirkan kebimbangan terhadap kebebasan media yang semakin terhakis bawah kepimpinan Mahiaddin Md. Yasin.

Ini berikutan pengumuman bakal Ketua Polis Negara baharu yang telah membuka kertas siasatan terhadap seorang wartawan yang dikatakan mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah.

Ketuanya, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata media yang sewajarnya dijamin bebas telah ditekan sedemikian rupa untuk menutup suara dan nurani rakyat terbanyak.

“Kita memahami peranan wartawan tidak hanya melaporkan berita, sebaliknya bertindak sebagai jurubicara masyarakat,” katanya yang juga Ketua Pemuda Pakatan Harapan.

Justeru Pemuda AMANAH melahirkan solidariti terhadap Astro Awani serta saudara Luqman Hariz, wartawan yang dipercayai sedang disiasat ketika ini.

Terdahulu, Penyampai berita Astro Awani, dalam siaran berita Astro Awani 7.45 lima hari lalu menggunakan istilah “Ketika otak yang letaknya di atas, tapi ada yang bertindak seolah-olah otak di lutut” terhadap penguatkuasa yang mengenakan kompaun sehingga RM50,000 ketika rakyat susah.

Keberanian beliau yang bersuara bagi pihak rakyat tertindas katanya, tidak hanya perlu dipertahankan, bahkan dicontohi untuk memulihkan negara yang sedang sakit dikhianati pemimpin zalim dan pengecut.

Menurut Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah kertas siasatan kes berkenaan dibuka mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan.

Kes ini boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.