Malaysia Dateline

Kebenaran Umrah ditangguhkan, kes positif Covid-19 pengembara tertinggi

Kementerian Kesihatan Malaysia menangguhkan kebenaran perjalanan Umrah bermula 8 Januari 2022 ini sehingga tarikh yang dimaklumkan berikutan kes tertinggi Covid-19 adalah dari Arab Saudi.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin dalam satu kenyataannya hari ini berkata, sepanjang tahun 2021, 1,446 dari 2,763 kes positif Covid-19 dari kalangan pengembara yang masuk ke Malaysia adalah dari Arab Saudi.

Ia adalah 52 peratus dari jumlah kes positif yang dikesan di pintu masuk Malaysia.

“Sebagai perbandingan, dalam tempoh 14 hari atau minggu epid ke 51 dan 52, kes positif Covid-19 dalam kalangan pengembara yang tiba dari Arab Saudi mencatatkan bilangan tertinggi iaitu 1,161 kes berbanding Singapura (13), Indonesia (8) dan United Kingdom (49),” kata Khairy.

Khairy berharap, penangguhan sementara aktiviti umrah ini dapat membantu mengurangkan risiko penularan Omicron dalam negara dan memperlahankan peningkatan kes Covid-19.

“Selain itu, langkah ini juga diharap dapat memberi peluang dan ruang kepada kerajaan untuk membuat perancangan serta persediaan rapi dalam pengurusan jemaah umrah sebelum aktiviti boleh dibenarkan semula,”katanya.

Sehingga 30 Disember 2021, terdapat sembilan kluster yang berlaku melibatkan jemaah umrah iaitu:-

  • Lima kluster melibatkan kes-kes indeks yang disahkan varian Omicron.
  • Satu kluster melibatkan kes indeks presumptive Omicron sementara menunggu WGs.
  • Tiga kluster melibatkan kes-kes indeks positif Covid-19 yang bukan varian Omicron.

Menurut beliau, perhimpunan berskala besar jemaah pelbagai negara semasa di Arab Saudi mendedahkan para jemaah kepada risiko jangkitan Covid-19 termasuk varian Omicron.

“Situasi ini menyukarkan para jemaah untuk mematuhi SOP umrah yang telah ditetapkan oleh kerajaan Malaysia,” katanya.