Kebijaksanaan, pengalaman PM mampu bawa Malaysia kembali disegani, kata TPM

Kebijaksanaan, pengalaman PM mampu bawa Malaysia kembali disegani, kata TPM

Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail yakin kebijaksanaan dan pengalaman  Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menerajui negara sebelum ini mampu membawa Malaysia kembali disegani selepas ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata selaku orang baharu dalam kabinet, beliau amat teruja untuk turut serta mencurah bakti membina Malaysia baharu bersama-sama jemaah menteri yang lain.

“Saya amat teruja untuk memulakan tugas bagi bersama-sama rakan membentuk satu pasukan yang mantap untuk membangunkan negara tercinta.

“Dengan kebijaksanaan dan pengalaman yang ada pada Tun (Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad), saya yakin kita boleh mencipta lebih banyak kejayaan untuk rakyat dan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melapor diri kepada Perdana Menteri di bangunan Yayasan Kepimpinan Perdana di sini sebelum memulakan tugas rasmi hari pertama sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Wan Azizah juga menyifatkan perjumpaan itu sebagai amat bermakna dan mereka berbincang beberapa perkara mengenai hala tuju untuk sama-sama menerajui kerajaan Malaysia yang baharu.

Wan Azizah tiba di perkarangan bangunan yayasan itu pada 9 pagi dan meninggalkannya 45 minit kemudian.

9.5
OVERALL SCORE
: 9.0
1 user vote x 10.0
CATEGORIES
TAGS