Kebimbangan keselamatan di Malaysia meningkat dengan pembunuhan Imam Palestin

Dr Fadi dibunuh melalui 10 tembakan dalam perjalanan untuk sembahyang subuh.

Kebimbangan tentang keselamatan di Malaysia kini memuncak ekoran pembunuhan Imam Palestin, Dr. Fadi M R Albatsh Fatma di Gombak kelmarin.

Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim dalam satu kenyataannya berkata, jika dakwaan Mossad adalah dalang disebalik insiden ini, ada yang tidak kena dengan keselamatan di Malaysia.

Ini kerana Malaysia sememangnya melarang kemasukan rakyat Israel ke negara ini atas sebab Malaysia tidak mengiktiraf penubuhan negara itu di atas tanah Palestin.

“Sekali lagi, Serantau Muslim melahirkan rasa kecewa jika andaian dan dakwaan Mossad ada kaitan dengan pembunuhan Imam Palestin ini,” kata Pengurus Besar, Ustaz Mohd Hakim bin Mohd Nor.

Bagi beliau, tragedi ini merupakan perkara yang sangat mengecewakan umat Islam kerana Islam tidak menyukai pembunuhan secara sengaja.

Serantau Muslim suka mengingatkan sebuah firman Allah yang bermaksud:

“Dan barangsiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya adalah Jahannam, kekal ia di dalamnya dan Allah murka kepadanya dan melaknatnya serta menyediakan azab yang besar baginya.” [Surah an-Nisa’ (4):93].

“Serantau Muslim melahirkan rasa simpati terhadap mangsa dan ahli keluarga atas insiden berdarah ini. Serantau Muslim berharap ahli keluarga tabah menerima ketentuan Ilahi ini,” katanya.

Serantau Muslim juga berharap 1.8 billion umat Islam di dunia ini dapat mendoakan kesejahteraan umat Islam antara satu sama lain dan sentiasa bermuafakat agar dapat bersatu padu dalam apa jua kemungkinan yang datang dari musuh-musuh Islam.

Dr. Fadi merupakan seorang salah seorang pensyarah di Universiti Kuala Lumpur British Malaysia Institute (UniKL BMI) dan telah berhijrah ke Malaysia hampir tujuh tahun yang lalu.

Laporan media hari ini menyatakan, dua suspek yang didakwa agen Mossad (Agensi Perkhidmatan Rahsia Israel) telah melepaskan tembakan jarak dekat terhadap pensyarah tersebut.

Media turut melaporkan bahawa Dr. Fadi juga merupakan seorang yang aktif dalam Gerakan Pembela Islam (Hamas).

“Ekoran kejadian ini, Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (Serantau Muslim) menggesa pihak berkuasa dapat melakukan siasatan secara menyeluruh demi mengenalpasti identiti sebenar pembunuh pensyarah yang mahir dalam bidang kejuruteraan ini. Hukuman setimpal perlu dikenakan terhadap pelaku jenayah seperti ini.

“Dalam pada itu, Serantau Muslim berasa sangat bimbang akan keselamatan di Malaysia kerana kini kes tembak menembak semakin menjadi-jadi,” katanya.

0.0
OVERALL SCORE
Have no any user vote