Malaysia Dateline

Kebobrokan masyarakat dunia di sebalik ‘Solidariti Rohingya’

Terjemahan bebas: AKMAL HAZIQ

Tidak ada siapa lagi mempersoalkan apa yang berlaku di Myanmar. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), organisasi hak asasi manusia antarabangsa dan pemimpin-pemimpin negara di seluruh dunia kesemuanya bersetuju bahawa perang yang dikenakan ke atas masyarakat Islam Rohingya merupakan contoh jelas berupa penghapusan etnik dan genosid.

Menurut laporan antarabangsa, jumlah pelarian yang meninggalkan Myanmar sejak berlakunya operasi tentera di Rekhine, mencecah 600,000 orang pada Oktober.

Krisis berterusan dan menjadi semakin buruk, dari satu sudut diburukkan oleh kedegilan kerajaan Myanmar yang masih mahu meneruskan polisi perkaumannya, dan dari sudut yang lain pula, perhatian yang diberikan oleh masyarakat dunia kepada apa yang berlaku di Myanmar ini tidak cukup mendalam.

Soladirati kemanusiaan

Perkara paling bahaya yang terungkap daripada tragedi Rohingya ini ialah idea “solidariti kemanusiaan” itu tidak memberi makna apa-apa selain pembohongan yang nyata.

Mereka yang menyeru dan berjuang untuk kebebasan dan membela hak asasi manusia tanpa mengira bangsa atau agama atau warna kulit atau ideologi – dan saya salah seorang daripadanya – berhadapan dengan kekeliruan besar. Mengapakah semua ini berlaku? Mengapakah pembantaian manusia, yang berlaku di depan mata kita ini, tidak dihentikan? Apakah terdapat syarat yang tidak diketahui diperlukan terlebih dahulu sebelum kita dapat membuktikan solidariti kemanusiaan untuk menawarkan bantuan yang diperlukan bagi menamatkan kesengsaraan mereka yang terbabit itu?

Inilah soalan-soalan yang jawapannya, saya bimbang, amat menakutkan. Apakah solidariti kemanusiaan itu hanya ditujukan kepada mereka yang kuat dan kaya, yang memiliki kuasa politik dan ekonomi dalam arena antarabangsa?

Tragedi Rohinghya mengesahkan apa yang kita katakan mengenai penggunaan “keganasan” oleh pemimpin-pemimpin diktator sebagai alasan berguna untuk menjelmakan matlamat politik dan menghancurkan penentang atau seteru poilitiknya.

Ramai yang telah mula percaya bahawa solidariti kemanusiaan itu tidak ditujukan kepada orang Islam. Tidak kiralah sama ada ia tepat atau sebaliknya, ia merupakan satu petunjuk tentang keraguan yang mula menempati minda sebahagian kita, dan ia bukan sesuatu yang baik.

Dan ini bukanlah satu-satunya kehilangan yang berlaku dalam tragedi Rohingya ini. Rejim pemerintah Myanmar, yang terus melakukan kekejaman baru setiap hari, masih mendapat sekutu baru yang membela perbuatan mereka. Tanggungjawab rejim Myanmar dalam tragedi kekejaman ini adalah jelas tetapi kenyataan mereka menafikan semua itu adalah cukup karut.

Dengan mengorbankan masa silamnya sebagai seorang pejuang kebebasan dan hak asasi, untuk menjadi seorang pemimpin yang zalim, Ang San Suu Kyi – pemimpin kerajaan Myanmar dan penerima Anugerah Nobel Keamanan – kini menjadi contoh utama bagaimana kehancuran boleh menimpa seseorang yang kita rasakan akan tetap berpegang kepada prinsipnya tidak kira apa yang berlaku.

Sangatlah tragik apabila Ang San Suu Kyi menolak kenyataan dan menafikan dengan penuh yakin tindakan kejam dan operasi penghapusan etnik itu sehinggakan Amnesty International, sebuah badan hak asasi manusia, mengkelaskan pengakuan beliau sebagai “campuran antara kebatilan dengan tuduhan ke atas mangsa”. Ang San Suu Kyi sepatutnya berjuang dan memenangkan hak-hak asasi manusia atau setidak-tidaknya memenangkan kesedarannya. Tetapi beliau memilih untuk memperjuangkan “negara” dan wawasan tenteranya yang dibina di atas asas penyingkiran, pemisahan dan penolakan secara berleluasa. Alangkah tragiknya pengahiran seorang perempuan yang pernah memberi harapan kepada cukup ramai orang.

Alasan “keganasan”

Tragedi Rohingya mengesahkan apa yang kita katakan mengenai penggunaan “keganasan” oleh pemimpin-pemimpin diktator sebagai alasan berguna untuk menjelmakan matlamat politik dan menghancurkan penentangan atau seteru politik mereka.

Dunia telah menyaksikan bagaimana keseluruhan kampung dan penempatan dimusnahkan dan penduduknya dibunuh atau dihalau, semua kekejaman dilakukan atas nama “perang ke atas keganasan”: siapakah yang boleh menerima justifikasi ini? Saya fikir tidak ada orang.

Kebenarannya ialah, “keganasan” telah digunakan sebagai satu alasan untuk menekan penentang dan untuk membolehkan pemimpin politik zalim mengukuhkan kedudukannya dan ia jelas dapat dilihat oleh semua orang. PBB dan masyarakat antarabangsa perlu berani dan menyekat penggunaan “keganasan” mengikut cara ini.

Rejim pemerintahan yang zalim perlu disekat peluang menggunakan alasan yang benar seperti memerangi “keganasan” untuk menjelmakan matlamat sendiri. Bukan sahaja itu, tetapi mereka yang didapati melakukan tindakan yang melanggar hak asasi manusia atas apa jua alasan, perlu diambil tindakan sewajarnya.

Memerangi rasisme

Terdapat banyak seruan supaya operasi tentera ke atas penduduk Rohingya dihentikan hari ini. Hal ini boleh dilihat sebagai pembangunan yang positif, dan walaupun ia datang begitu lewat, biarlah lewat daripada tiada langsung.

Biar pun begitu, rejim pemerintahan di Myanmar nampaknya tidak akan memberikan tindak balas terhadap seruan-seruan ini kecualilah jika pendirian bersepadu peringkat antarabangsa menentang kekejaman ke atas manusia yang berlaku di sana. Pihak tentera di Myanmar telah memulakan semua ini, mereka tidak rasa bersalah menafikan kaum Rohingya hak-hak mereka.

Tragedi Rohingya telah menunjukkan bagaimana anggota PBB negeri boleh mempunyai polisi dalaman yang dibina atas asas perkauman dan diskriminasi agama tanpa memikirkan kesannya di peringkat antarabangsa. Sehubungan itu, tekanan perlu ditingkatkan ke atas rejim pemerintahan di Myanmar untuk memperbetulkan keadaan.

Masanya telah tiba untuk menyatakan pendirian yang tegas ke atas Myanmar. Kita tidak boleh bersikap lunak dengan negara yang mengamalkan polisi apartied. Inilah masanya untuk menghentikan tragedi kemanusiaan yang telah berlarutan sejak beberapa dekad.

Baru-baru ini, Bangladesh dan Myanmar telah membuat perjanjian untuk menghantar pelarian Rohingya pulang. Mereka ini melarikan diri setelah tentera Myanmar menjalankan kempen kejam membunuh dan menghalau kaum mereka dua bulan lalu. Tetapi perjanjian ini, jika dilaksanakan sekali pun, tidak mencukupi untuk menganggap seolah-olah tidak ada apa yang berlaku.

Memang benar penghantaran pulang pelarian majoriti Islam-Rohingya ini sangat penting untuk menamatkan tragedi ini, tetapi apakah jaminan yang diberikan oleh kerajaan Myanmar bahawa tragedi yang sama tidak berulang lagi?

Bagaimanpun, perjanjian ini boleh menjadi langkah awal untuk menamatkan dasar diskriminasi ke atas bangsa Rohingya yang sepatutnya diberikan hak sivil dan politik sebagai rakyat Myanmar.

Bangsa Rohingya telah lama hidup dalam keadaan tidak mengenal makna sebenar kemanusiaan dan keadilan. Bukankah indah jika mereka dapat menemukan sebahagian daripadanya sekarang? Kita mesti bekerja keras menjelmakannya dengan seluruh kekuatan yang kita ada, bukan hanya untuk mereka, tetapi untuk kita semua juga.