Kebun rosak, banjir berlaku setiap kali air pasang

Penduduk menunjukkan keadaan kawasan kebun selepas banjir melanda.

Benteng penahan air yang dibina Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pecah didakwa mengakibatkan banjir berlaku setiap kali air pasang dan merosakkan kebun penduduk di Kampung Sungai Bagan Laut, Rengit, Batu Pahat, Johor.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Parlimen Batu Pahat, Malik Faishal Ahmad ketika dihubungi, mendakwa, benteng yang rosak itu tidak dibaiki sekian lama, menyebabkan beratus ekar kebun akan dilimpahi air setiap kali berlaku air laut pasang.

“Hampir 200 ekar kebun yang rosak akibat air membanjiri kawasan kebun tersebut. Perkara itu perlu diambil tindakan dengan segera oleh JPS.

Malik Faishal Ahmad

“Apa yang dimaklumkan, setiap kali berlakunya air pasang kawasan berkenaan akan dinaiki air. Ini disebabkan benteng penahan air yang dibina rosak tanpa diperbaiki sejak bertahun lamanya.

“Perkara ini telah dibawa kepada pengetahuan JPS namun tiada sebarang tindakan yang diambil oleh pihak tersebut,” ujarnya.

Menurut Malik lagi, kebun tanaman kontan adalah yang paling teruk terjejas akibat banjir berkenaan.

Selain kebun tersebut, penduduk juga melaporkan terdapat rumah penduduk kampung yang dinaiki air dan perkara telah membuatkan penduduk kampung terpaksa menanggung kos akibat kerosakkan peralatan rumah mereka.

“Tanaman kontan penduduk adalah yang paling teruk terjejas. Mata pencarian penduduk juga terbabit dalam keadaan sebegini.

“Banjir berlaku puratanya tiga kali sebulan dan ia bukan sahaja merosakkan tanaman malah turut melibatkan rumah kediaman penduduk kampung,” ujarnya.

Justeru beliau mengharapkan kerajaan negeri akan mengambil perhatian mengenai permasalahan penduduk yang berpunca daripada benteng penahan ombak yang pecah dan perlu dibaiki segera.

Keadaan benteng penahan air yang pecah tidak dapat mengawal limpahan ketika air laut pasang.