Malaysia Dateline

Keburukan yang baik untuk PH menjelang PRU15

Dari satu segi, ia memang negatif bagi negara kita kerana menyebabkan para pelabur tidak yakin untuk melabur.

Walau bagaimanapun, dari segi yang lain, malah tentu Pakatan Harapan (PH) sebagai pembangkang ingini, iaitu rakyat marah lantas menghukum kerajaan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Keputusan mahkamah dalam beberapa kes membabitkan pemimpin politik atau individu berprofil tinggi yang dianggap tidak memuaskan hati sesetengah pihak sejak akhir-akhir ini memang boleh memburukkan imej kerajaan, dan negara.

Saya sependapat dengan penganalisis politik tanah air, iaitu meskipun keputusan berkenaan ditentukan oleh mahkamah selepas hakim mempertimbang hujah kedua-dua pihak, tetapi ia secara tidak langsung membawa kesan kepada pemerintah sekarang – Kerajaan Keluarga Malaysia.

Pandangan penganalisis I

Menurut pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali, walaupun keputusan mahkamah itu benar, tetapi dalam situasi sekarang ia akan menjadi bahan gunjingan masyarakat awam, dan terus menilainya.

Meskipun mengakui mahkamah berhak membebaskan individu berkenaan berdasarkan prosiding, tetapi tegas Mazlan, ia akan tetap menjadi satu sentimen.

Hal ini dikatakan sedemikian kerana dalam kalangan masyarakat awam semasa, terdapat juga pengamal undang-undang yang memahami proses yang berlaku di mahkamah, sama ada baik atau buruk.

Pembebasan ahli-ahli politik yang banyak kes itu, tambah Mazlan, akan dipersoal oleh anggota masyarakat seperti peguam, misalnya.

Oleh sebab Umno yang memerintah negara sekarang dengan Naib Presidennya, Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri, timbul persepsi ramai pemimpin parti itu yang dikaitkan dengan rasuah akan terlepas hukuman.

Untuk rekod, antara kes membabitkan tokoh politik berprofil tinggi yang menarik perhatian ramai adalah mantan Menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan Tengku Mansor; mantan Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid, dan anak tiri mantan PM, Datuk Seri Najib Razak, Riza Aziz (dilepas tanpa dibebaskan).

Beberapa hari sebelum artikel ini ditulis, mantan Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim turut dibebaskan daripada tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram.

47 dakwaan terhadap Presiden Umno yang juga mantan Timbalan PM, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula dikatakan lemah. Apakah beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk akan turut dibebaskan?

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan, dan mantan Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Samad juga sedang dibicarakan di mahkamah. Turun naik turun naik mahkamah, akhirnya oleh kerana Umno berkuasa, semua kluster mahkamah akan di‘sembuh’kan.

Kelakar pula apabila ada yang mencadangkan Ahmad dari kluster mahkamah dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat!

Dengan perkembangan teknologi maklumat di hujung jari, tambah Mazlan, isu persepsi tidak dapat dielakkan, dan pendapat bahawa hanya kerajaan mengetahui semua perkara telah berlalu.

Kata Mazlan yang juga pensyarah kanan Sekolah Perdana UTM, tiada siapa boleh menyorokkan apa-apa pun dan bersikap tidak telus. Ketelusan amat penting kerana kalau sebaliknya, rakyat akan membongkar.

 

Pandangan penganalisis II

Pensyarah Sains Politik Universiti Teknologi Mara Raub, Muhammad Ariff Asyrul Adnan turut menegaskan pembebasan ahli politik daripada kes mahkamah pasti memberikan kesan kepada keyakinan rakyat terhadap kerajaan Keluarga Malaysia.

Kalau ini berterusan katanya, tiga impak besar akan melanda kepimpinan negara iaitu; tahap kebolehpercayaan rakyat terhadap pemimpin politik semakin lemah, berlaku defisit kepercayaan terhadap kepimpinan yang sebelum ini sudah dibangkitkan khususnya dalam pengurusan negara sepanjang gelombang Covid-19, dan tanggapan – yang tidak semestinya benar – dalam kalangan orang ramai bahawa kerajaan atau parti mempengaruhi cabang perundangan, lantas label kleptokrasi yang kuat dengan imej Umno sukar dikikis.

Jika ini tidak dicegah, tambah Ariff, imej Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat dan menjunjung kedaulatan undang-undang dibimbangi akan dipandang negatif dan sia-sia sahaja reformasi institusi yang dicanangkan.

Ketelusan, akauntabiliti dan kebebasan kehakiman, tegas Ariff, merupakan tunjang utama ke arah amalan politik baharu di Malaysia.

Pembebasan beberapa pemimpin Umno setakat ini adalah petanda paling keji yang merosakkan proses demokrasi Malaysia sejak PRU pertama pada 1955.

Imej buruk negara memang tidak diingini. Malang sekali, seluruh negara dan semua rakyat menerima kesan negatif akibat perbuatan pemimpin kerajaan Ismail. Ketiadaan pelabur luar juga antara masalah yang boleh menjejaskan ekonomi negara.

Walau bagaimanapun, jenayah terburuk itu cuba dipaparkan dengan wajah manis bersama-sama sokongan bulat dan padu, termasuk oleh parti Islam.

Pas dan sikap tidak malu bersekongkol dengan PN

Pas tanpa segan-silu terutama melalui kenyataan-kenyataan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, sentiasa mempertahan dan mereka-reka dalil untuk membenarkan apa juga langkah, dan aksi kerajaan tebuk atap tersebut.

Amat ironi apabila Pas yang mendakwa ia satu-satunya parti Islam di dunia, tetapi bersekongkol dan berdakap erat dengan gerombolan perampas mandat rakyat.

Dengan onar dan olah buruknya yang kian menjadi-jadi sekarang, masihkah Pas parti Islam?

Di seluruh dunia, parti-parti Islam ditindas, dizalimi dan dinafikan kemenangan yang dicapai melalui pilihan raya seperti kes di Mesir dan Algeria.

Namun demikian, di Malaysia, Pas pula bersama-sama pakatan Umno-Barisan Nasional, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) mencuri kerajaan melalui pintu belakang.

Amat malang, Pas yang kelihatan berpegang teguh pada prinsip-prinsip mulia sejak ditubuhkan lebih 70 tahun lalu, telah meleburkan pegangannya lantaran tersilau dengan kemilau kuasa dan harta.

Pas kini bukan lagi Pas yang dahulu. Corak perjuangannya bertukar kepada asobiyah sempit, dan melupakan asas-asas kesederhanaan. Pas kini lebih tertutup dalam tempurung wilayah tradisi walaupun merupakan anggota penting dalam pentadbiran negara.

Tiga pemimpinnya diangkat menjadi menteri penuh, manakala Hadi dilantik sebagai duta khas bertaraf menteri. Barangkali elaun dan kemudahan setaraf menteri, tetapi rakyat tidak nampak sumbangan bermakna mereka untuk negara.

Pemimpin-pemimpin Pas yang menjadi menteri penuh adalah Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Menteri Alam Sekitar dan Air; Ustaz Idris Ahmad (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama)), dan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (Menteri Tenaga dan Sumber Asli).

Aneh juga kerana Presiden parti yang memenangi 18 kerusi Parlimen itu, Hadi, tidak dibawa ke dalam Kabinet. Malah sepatutnya menjadi menteri kanan. Sebaliknya, Timbalan Presiden iaitu Tuan Ibrahim pula yang menjadi menteri penuh. Hadi hanya menjadi duta khas ke Timur Tengah yang bertaraf menteri.

Pelik kerana Pas boleh menyambut pembentukan kerajaan tanpa mandat rakyat ini dengan lapang dada.

Malah menyogokkan dalil-dalil agama (sebenarnya dalih) kepada umum bagi menjustifikasikan aksi pengkhianatan dan pembelotan mereka.

Lebih malang, Pas turut berperanan besar mengembalikan Umno yang ditolak oleh rakyat dalam PRU-14, ke tampuk pemerintahan (walaupun tidak begitu menghairankan kerana menjelang PRU-14, Pas telah bermukah dengan Umno dan Najib).

Pas yang dahulu bermati-matian menafikan dakwaan hasratnya untuk merangkul Umno dalam satu persefahaman, pernah menerima pelbagai label buruk kerana menolak usaha kerjasama sulit peringkat tertinggi itu.

Ketika itu sebenarnya, Pas sudah menerima suntikan dana berjuta-juta ringgit daripada Umno. Ternyata Pas sudah begitu lama berbohong, malah lazim membohongi ahli dan penyokongnya.

Mengapakah Pas boleh menerima pemimpin negara yang korup dan mencuri duit rakyat? lebih selesa berkawan dengan parti pemerintah ketika ini yang mempermain sentimen bangsa, tetapi membolot khazanah negara dengan rasuah melampau.

Menanti titah Agong Isnin depan

Dewan Rakyat yang akan bersidang semula mulai 13 September nanti merupakan persidangan kali pertama di bawah Ismail sebagai PM. Ia juga persidangan Dewan Rakyat secara bersemuka pertama dalam tempoh 270 hari selepas kali terakhir bersidang pada 17 Disember 2020.

Sidang Khas Parlimen pada 27 sehingga 30 Julai lalu (tidak disambung pada 2 Ogos) diadakan oleh Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Mahiaddin Md Yasin setelah mendapat tekanan daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Oleh kerana nyawa seperti telur di hujung tanduk, kerajaan PN ketika itu mengubah sidang khastersebut menjadi sesi taklimat oleh para menteri. Walau bagaimanapun, kerajaan PN tumbang pada 16 Ogos lalu.

Dengan Ismail kini merupakan PM, dan tidak sampai empat bulan 2021 akan berakhir, sidang Parlimen yang terakhir tahun ini perlu dihabiskan dalam masa yang berbaki.

Terdapat dua pusingan mesyuarat yang akan dijalankan secara berturut-turut, dengan Parlimen bersidang dari Isnin sehingga Khamis, kecuali cuti umum.

Dalam mesyuarat pertama, Dewan Rakyat akan bersidang dari 13 September sehingga 12 Oktober, diikuti oleh Dewan Negara dari 4 Oktober sehingga 26 Oktober.

Mesyuarat kedua akan mengadakan persidangan Dewan Rakyat dari 25 Oktober sehingga 16 Disember, dan Dewan Negara dari 14 Disember sehingga 23 Disember. Belanjawan 2022 akan dibentangkan dalam mesyuarat kedua ini.

Inilah antara perkara menarik yang harus diperhatikan semasa mesyuarat pertama Parlimen pada sesi 2021.

Biasanya titah Agong disampaikan pada hari pertama mesyuarat Parlimen penggal pertama setiap tahun di hadapan anggota Dewan Rakyat, dan Dewan Negara. Titah itu disediakan oleh kerajaan, dan biasanya Agong akan menggunakan teks yang telah disiapkan.

Namun begitu, akibat Istana Negara diheret dalam krisis politik pada tahun lalu, perlu diperhatikan jika ia menyisipkan pesanannya sendiri dalam titah diraja pada tahun ini.

Agong berkenan mengisytiharkan darurat pada 11 Januari 2021 berikutan kerajaan pimpinan Mahiaddin memerlukan lebih banyak kuasa untuk memerangi Covid-19.

Walau bagaimanapun, pada 16 Jun lalu, Majlis Raja-Raja menitahkan agar darurat tidak dilanjutkan.

Al-Sultan Abdullah juga memanggil Speaker Dewan Rakyat dan Speaker Dewan Negara untuk menitahkan agar Parlimen bersidang semula berikutan keengganan kerajaan ketika itu.

Agong sekali lagi diseret ke dalam konflik dengan kerajaan PN apabila kerajaan tersebut menolak untuk membentangkan Ordinan Darurat bagi dibahaskan di Dewan Rakyat sebagaimana yang dititahkan.

Namun demikian, nampaknya ‘drama’ tersebut mungkin berterusan di bawah Kerajaan Ismail apabila Al-Sultan Abdullah kini diseret ke episod ‘cakap dengar’ pula. Agong secara terbuka menitahkan agar PM baharu membenarkan usul percaya dibentangkan di Parlimen.

Namun, kerajaan Ismail mendakwa baginda telah berubah fikiran, sebagaimana menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, ia disampaikan oleh Ismail semasa mesyuarat Kabinet.

Namun begitu, tidak lama kemudian, timbul persoalan apakah yang diberitahu oleh Ismail dalam mesyuarat Kabinet adalah tepat seperti yang dihendaki Al-Sultan Abdullah? Sehingga kini, Agong sendiri tidak membuat pengumuman rasmi bahawa baginda telah mengubah pendirian.

Justeru, titah Al-Sultan Abdullah pada 13 September nanti akan menjadi peluang bagi baginda memberikan penjelasan. Ketika ini, tiada usul dalam Aturan Mesyuarat Dewan Rakyat untuk Ismail mendapatkan undi percaya.

Tanggapan Pakatan Harapan terhadap kerajaan Ismail

Begitu pun, keengganan kerajaan Ismail mengesahkan majoriti yang diperolehnya adalah aneh kerana sokongan 114 daripada 220 anggota Parlimen terhadap Ismail di Dewan Rakyat tidak dipertikai walaupun oleh PH dengan dua kerusi masih kosong.

Ekoran perkembangan negatif ini, pemimpin PH sedang mempertimbang semula mengenai perjanjian kepercayaan dan perbekalan, serta agenda reformasi antara Kerajaan KM dengan PH, yang berada dalam keadaan tidak menentu jika tiada undi percaya terhadap PM dikemuka.

Pemimpin PH melihat keengganan Ismail menguji majoriti, proses yang normal secara demokratik, sebagai langkah yang salah, dan bukan petanda baik bagi komitmennya terhadap pembaharuan.

Menarik untuk diperhatikan jika Kerajaan Ismail membenarkan usul percaya setelah persidangan Parlimen bermula sebagai respon terhadap tekanan yang diterimanya.

Walau bagaimanapun, Al-Sultan Abdullah boleh mengendurkan tekanan itu jika disahkan baginda tidak lagi mahukan undi percaya terhadap PM.

Veteran DAP, Lim Kit Siang mempertikai penjelasan Wan Junaidi (yang menggantikan Takiyuddin) bahawa Agong berkenan supaya undi percaya tidak diadakan.

Lim yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah bertanya, jika Al-Sultan Abdullah telah berubah fikiran dan bersetuju untuk tidak perlu ada undi percaya di Dewan Rakyat sebagaimana dakwaan Junaidi, mengapa ia tidak dinyatakan dari awal?

Malangnya kata Lim, yang kita dapati adalah kenyataan luar biasa Peguam Negara, Tan Sri Idrus Azizan Harun pula dengan hujah tidak logik yang merendah-rendahkan kuasa Agong untuk melantik PM mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Jadi, pengguguran kes seorang demi seorang pemimpin Umno/BN, ‘perangai’ Pas sekarang dan isu pemimpin kerajaan kerap menderhakai Agong, diharapkan dapat menjadi antara sebab rakyat marah dan menterjemahkannya dalam peti undi PRU15 nanti.

————————————————————-

RAYUSA seorang penulis bebas yang turut menulis isu sastera dan budaya tanah air.