Malaysia Dateline

Kecam misi kudeta menjelang Hari Arafah di Sabah

Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) Nasional mengutuk keras segala usaha rampasan kuasa mandat rakyat yang sejak akhir-akhir ini menjadi norma baharu politik Malaysia.

Ketua Awan Nasional, Senator Aiman Athirah berkata, adalah suatu yang sangat memalukan dan mendukacitakan bilamana pembangkang yang dianggotai oleh perwakilan-perwakilan Umno, PPBM dan lain-lain di bawah pimpinan Musa Aman.

Katanya, aa berupa usaha “berterusan membuat percubaan menjatuhkan kerajaan mandat rakyat serta tekad menjayakan misi kudeta (rampasan kuasa) mereka terhadap kerajaan negeri Sabah menjelang Hari ‘Arafah, yakni pada saat ummat Islam sepatutnya memberi tumpuan kepada ibadah terbaik kepada AlLah.”

“10 hari terbaik dunia yang dijanjikan Nabi saw tercemar dengan aktiviti-aktiviti politik jahat terbit daripada kerakusan kuasa dan harta susulan amalan politik wang dan ‘scheme of things’ yang kini merebak ke seluruh negara dan seolah sah diperlakukan semahu-mahunya sejak Perikatan Nasional terbentuk dengan Muafakat Nasional Umno Pas menjadi sebahagian daripada mereka,” kata tokoh politik nasional yang berasal dari Sabah itu.

Katanya, Awan Nasional menyokong tindakan cekap dan pantas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Shafie Apdal yang telah mengambil tindakan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri Sabah seperti yang telah diumumkan semalam.

“Demikian, kami juga ingin menjunjung kasih kepada Tuan Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (DR) Haji Juhar Bin Haji Mahiruddin atas persetujuan dan kebersamaan Tun bagi memastikan mandat rakyat negeri Sabah terus dihormati dan diletakkan pada kedudukan utama.

“Keputusan membubarkan DUN ini dilihat menghormati hak memilih yang seharusnya dikembalikan kepada rakyat Sabah setelah tersebar sebilangan Adun kerajaan telah khianat dan melompat, sekaligus menukar sokongan kepada pembangkang bagi menubuhkan kerajaan baharu di bawah Musa Aman,” katanya.

Bagi beliau, keadaan tidak stabil ini boleh membawa kepada ketidaktentuan ekonomi dan ketidakyakinan pelabur luar untuk melabur di negeri ini, sekaligus berpotensi tinggi memangsakan rakyat yang pada masa sama sedang dihimpit masalah ekonomi sejak pandemik Covid-19.

“Kami menyelar tindakan segelintir Adun yang menjadikan kedudukan dan jawatan Wakil Rakyat mereka sebagai Barang Dagangan yang boleh dijual beli tanpa memberi fokus kepada tugasan hakiki seorang wakil rakyat yang seharusnya bertanggungjawab setia kepada parti yang memberi kepercayaan, seterusnya membela nasib dan mewakili suara rakyat yang telah memilih mereka,” katanya.

Sebagai rakan anggota Pakatan Harapan, mereka secara terbuka memberikan sokongan penuh dan padu kepada Parti Warisan yang diketuai oleh Shafie Apdal untuk terus memimpin, sekaligus memastikan mandat rakyat yang telah diberikan kepada Warisan dan Harapan pada PRU14 akan terus kekal menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan berlaku dalam tempoh terdekat.

“Tahniah diucapkan kepada semua Adun Warisan dan Harapan yang terus teguh mempertahankan kredibiliti kerajaan dan rakyat Negeri Sabah daripada pengkhianatan para Adun kaki lompat,” katanya.