Malaysia Dateline

Kecaman terhadap Muhyiddin memuncak, kata MT Umno

Ahli Majlis Tertinggi Umno mendakwa kecaman terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memuncak ekoran cadangan kabinet beliau agar negara dikenakan perintah darurat.

“Kecaman terhadap Muhyiddin memuncak,” kata Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menerusi facebook beliau.

Bekas Ketua Pengarah Jasa, badan propaganda kerajaan Barisan Nasional sebelum ini juga berkata, tindakan Muhyiddin mencadangkan agar Parlimen digantung seumpama membubarkan Parlimen.

“Gantung parlimen tidak perlu letak jawatan PM. Tetapi gantung Parlimen umpama bubar Parlimen. Kalau begitu, baik letak jawatan,” kata beliau lagi.

Kabinet Muhyiddin mencadangkan kepada Yang Dipertuan Agongb agar perintah darurat dikenakan untuk mengawal penyebaran Covid-19.

Namun Yang Dipertuan Agong tidak mahu membuat keputusan sendiri tetapi akan bermesyuarat dengan Majlis Raja-raja Melayu jam 2.30 petang ini.

Petang ini Majlis Raja Raja Melayu akan bersidang. Rakyat menunggu, apakah YDP Agung akan memperkenankan permintaan PM supaya negara diistihar “Darurat”.

Peristiharan Darurat diputuskan oleh Mesyuarat Khas Kabinet untuk memerangi Covid-19. Ia termaktub di bawah Artikel 150 Perlembagaan Negara.

Menurut Puad, mesyuarat Umno Johor semalam bersetuju Kerajaan Pusat hendaklah memberi penjelasan lanjut kenapa Artikel 150 dalam Perlembagaan Persekutuan mahu digunakan.

“Di bawah Artikel 150, “Darurat” boleh diistihar jika keselamatan, ketenteraman awam dan kehidupan ekonomi terancam. Iaitu berlaku kecemasan yang amat parah.

“Apakah negara sudah sampai situasi parah itu. Kenapa mahu “menggantung Parlimen”? Bolehkah Covid-19 diperangi jika PM ada kuasa mutlak dan demokrasi dimatikan,” tanya Puad.

Bagi beliau, pendirian Umno Johor adalah wajar.

“Jangan nanti ada muslihat politik. Takut undi tidak percaya dan takut Bajet tidak lulus,” kata beliau.