Kecelaruan mental: Anak lelaki Samy Vellu mohon siasatan dibuat ke atas bapa

Kecelaruan mental: Anak lelaki Samy Vellu mohon siasatan dibuat ke atas bapa
Tan Sri S.Samy Vellu.- Foto Malaymail.

Anak lelaki Tun S.Samy Vellu, Datuk Seri S. Vell Paari memfailkan saman terhadap bapanya untuk mendapatkan perintah mahkamah supaya siasatan dilakukan bagi menentukan sama ada bekas presiden MIC itu mengalami kecelaruan mental dan tidak berupaya untuk menguruskan diri serta hal ehwalnya.

Saman berkenaan difailkan Vell Paari, 57, selaku plaintif pada 2 Dis lepas di Mahkamah Tinggi di sini, menerusi Tetuan Messrs Mathews Hun Lachimanan dengan menamakan bekas Menteri Kerja Raya itu, yang berusia 82 tahun, selaku defendan tunggal.

Datuk Seri  S Vell Paari. -Foto The Star.

Hari ini kes saman itu ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Idamasliza Maarof.

Dalam saman itu, Vell Paari memohon perintah bahawa suatu tarikh, masa dan tempat ditetapkan untuk siasatan diadakan di bawah Seksyen 52 Akta Kesihatan Mental 2001 ke atas bapanya bagi mengetahui jangka masa bapanya mengalami kecelaruan mental.

Beliau juga memohon perintah mahkamah untuk mengetahui sama ada bapanya berupaya memberi arahan kepada peguam supaya bertindak bagi pihaknya (Samy Vellu) selain untuk menentukan jenis harta yang dimiliki oleh bapanya.

Bekas Setiausaha Agung MIC itu turut memohon supaya Consultant Neuropsychiatrist dan Ketua Neurobehavioral Medicine Services dari Penang Adventist Hospital, Dr Prem Kumar Chandrasekaran, 52, atau pakar kesihatan mental lain diberikan akses untuk memeriksa bapanya secara peribadi dan menyediakan laporan tentang keupayaan mental defendan.

Katanya, jika defendan didapati mengalami kecelaruan mental dan tidak berupaya menguruskan dirinya serta hal ehwalnya akibat masalah itu, beliau memohon supaya beberapa individu termasuk dirinya (plaintif) dan peguam Datuk C. Vijaya Kumar dilantik oleh mahkamah sebagai ahli jawatankuasa untuk menjaga dan menguruskan hal ehwal estet defendan.

Sekiranya mahkamah membenarkan kesemua individu itu dilantik sebagai ahli jawatankuasa, plaintif turut memohon supaya mahkamah menentukan kuasa ahli jawatankuasa tersebut, membuat peruntukan bagi kos dan perbelanjaan jawatankuasa serta membuat peruntukan bagi saraan jawatankuasa tersebut.

Vell Paari juga memohon perintah supaya beliau dilantik sebagai wakil litigasi defendan dalam mana-mana prosiding undang-undang membabitkan bapanya, harta atau kepentingannya.

Sementara itu, Vell Paari menerusi afidavit sokongannya berkata ibunya, Toh Puan R. Indrani, 79, dan adik perempuannya, S. Mangayerkarasi, 56, akan memberi sokongan terhadap saman itu dan akan mengesahkan perkara tersebut dalam afidavit sokongan mereka.

Plaintif berkata konsultan psikiatri dari Victoria, Australia, Prof David Ames telah mengenal pasti bapanya mengalami demensia pada 2017 dan telah diberikan ubat untuk merawat kesihatannya.

Katanya, konsultan psikiatri dari Pantai Hospital, Dr Bharathi Vengadasalam turut menyediakan laporan bahawa Samy Vellu mengalami Major Neurocognitive Disorder dan tidak berupaya menguruskan kewangan dan estet, menguruskan ubat serta membuat keputusan.

Beliau berkata hasil penemuan kedua-dua konsultan itu mendapati bapanya mengalami kecelaruan mental dan tidak memiliki keupayaan fizikal dan mental menguruskan dirinya dan hal ehwalnya.

Vell Paari berkata sejak 2017 beliau telah membantu bapanya untuk menguruskan hal ehwal dan estetnya dan telah menggunakan dananya sendiri bagi tujuan itu berikutan bapanya tidak dapat mengakses dana dalam akaun perbankan atas faktor kesihatan.– BERNAMA