Malaysia Dateline

Muhammad Najhan Shahir Halim

Keceluparan Faiz Fadzil patut ikut undang-undang, kata Ulamak Pas

Keceluparan Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Faiz Fadzil sepatutnya berasaskan kepada undang-undang dan apa yang dipelajarinya dan diamalkan sebagai pengamal Undang-Undang, demikian menurut Setiausaha Dewan Ulamak Pas Selangor Muhammad Najhan Halim.

Di dalam kenyataannya, Najhan berkata, pimpinan AMANAH cuba untuk membina persepsi buruk terhadap Pas sama ada dengan memfitnah Pas bergabung dengan Umno atau menerima duit Umno walaupun telah diperjelaskan oleh pimpinan Pas sebelum ini.

“Itulah modus operandi mereka bertahun lamanya dan tak pernah berasa menyesal dan bersalah walaupun kaedah itu bercanggah dengan prinsip Islam dan prinsip undang-undang itu sendiri yang kononnya mereka adalah pembela dan pejuang prinsip itu,” katanya.

Beliau berkata demikian merujuk kepada kenyataan Pemuda AMANAH yang menggesa pihak berkuasa menyiasat akaun pihak lain yang didakwa menerima wang daripada Umno termasuk Pas.

Menurut Najhan, pembuktian terhadap tuduhan Pas sehingga hari ini masih sekadar tuduhan melulu, telahan tiada berasas, berbentuk fitnah dijaja ke sana ke sini, malah Pas telah berjaya di beberapa peringkat prosiding mahkamah samannya di London langsung tidak diendahkan.

“Cadangan membekukan akaun Pas hanya berpandukan tuduhan ciptaan lidah bercabang AMANAH bahawa Pas mesra Umno menjadi ratib setiap saat para pimpinan AMANAH, walaupun kini kelihatan bekas pimpinan Umno yang kalah pilihan raya berbondong-bondong menyertai PH sama ada PKR atau PPBM. Ini mesra apa.? Mesra fulus dan pangkat.?

“Saya ingin menegur dan mengecam keceluparan Faiz Fadhil ini, janganlah berlagak sombong menjadi kerajaan ingin menggunakan kuasa yang rakyat beri dengan semudah menghukum pembangkang,”katanya.

Beliau berharap Kerajaan Pakatan Harapan tidak hanya laju dan pantas mencari dan mendedahkan kesilapan dan kepincangan bekas pimpinan kerajaan yang kalah, tetapi membuta mata dan memekakkan telinga kepincangan yang pernah dilakukan di kalangan pimpinan kerajaan PH sekarang.

“Pas tidak terkejut dan tidak hairan apa yang sedang dibuat oleh Kerajaan PH sekarang dalam mendedahkan korupsi pimpinan Umno dan bekas pimpinan kerajaan kerana mereka bukan lagi berkuasa. Apa yang mengkagumkan ialah kejayaan mendedahkan korupsi pimpinan kerajaan yang sedang berkuasa sekiranya ada bukti.

“Saya ingin mengingatkan pimpinan Kerajaan PH bahawa tiada kerajaan yang kekal di dunia ini kalau sikap begini diamalkan untuk menghukum pembangkang, bagaimana nasib mereka nanti sekiranya Kerajaan Persekutuan dipegang oleh Umno kembali?”soalnya.

Terdahulu, Faiz Fadzil merujuk kenyataan pemangku presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semalam yang memberi gambaran kemungkinan pembekuan itu ada kaitan dengan dakwaan pengubahan wang haram.

Ekoran itu, Pemuda AMANAH menggesa pihak berkuasa menyiasat akaun pihak lain yang menerima wang daripada Umno termasuk akaun Pas seperti mana didedahkan Naib Presiden AMANAH Datuk Mahfuz Omar bahawa Pas ada menerima RM1.5 juta daripada Umno.

“Pemberian wang ini boleh dianggap tergolong dalam aliran pengubahan wang haram kerana diterima daripada Umno yang akaunnya dibekukan kerana disyaki melanggar Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA),” katanya.

Menurut peruntukan AMLA, jelas Faiz, adalah menjadi kesalahan bagi penerima aliran pengubahan wang haram dan pihak berkuasa boleh membekukan mana-mana akaun yang disyaki terlibat.

“Pengakuan Pengarah Penyelidikan Pas Dr Zuhdi Marzuki bahawa wang tersebut adalah derma juga membuka ruang kepada satu siasatan dijalankan terhadap Pas kerana derma ditafsirkan sebagai suapan menurut seksyen 3 Akta SPRM 2009.

“Tindakan Pas yang mesra Umno dan membela Datuk Seri Najib Razak dalam skandal 1MDB sebelum pilihan raya umum ke-14 yang lalu menimbulkan syak munasabah untuk akaun PAS disiasat,” katanya menegaskan agar semua pihak yang terlibat dalam skandal 1MDB yang dikaitkan dengan Najib disiasat.