Malaysia Dateline

Kecewa apabila Kabinet masih tidak umum pembekuan peningkatan gaji pengurus tertinggi GLC,GLIC

Kabinet yang berdiam diri semalam dengan tidak mengeluarkan apa-apa arahan untuk membekukan peningkatan gaji dan elaun pihak pengurusan tertinggi di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) sehingga ekonomi negara pulih dan untuk memecat mana-mana lantikan yang ingkar kepada arahan ini menunjukkan sifat penakut dan tidak bertanggungjawab Kabinet.

Perkara ini amatlah mengecewakan dan menunjukkan had apa yang boleh dicapai oleh Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Sifat penakut Kabinet ini amat memalukan terutamanya apabila negara sedang berhadapan dengan waktu yang sukar dengan kadar inflasi yang tinggi di Malaysia dan di seluruh dunia sehingga Indeks Kesengsaraan yang telah lama tidak didengari kini kembali popular.

Pada masa yang sama, jelas Kabinet juga tidak bersedia untuk memimpin usaha negara untuk mencari jawapan kepada persoalan:

“Di manakah silapnya?” dengan usaha pembangunan negara bangsa sehingga kita semakin lama semakin ditinggalkan oleh lebih banyak negara, sehingga Malaysia berada di kedudukan belakang, baik dari segi politik, ekonomi, atau pendidikan.

Rakyat Malaysia, melalui sama ada parti politik, NGO, persatuan, pertubuhan belia, dan kelab pelajar, perlu menjalankan tanggungjawab untuk mencari “Di manakah silapnya?” ini, di mana kita telah gagal untuk menjadi sebuah negara hebat bertaraf dunia dan kini berada dalam bahaya untuk menjadi sebuah negara gagal seperti Sri Lanka sebelum ulang tahun ke-100 negara dalam empat dekad dari sekarang.

Rakyat Malaysia perlu bertanya diri mereka, sama ada kesilapan terbesar usaha pembinaan negara bangsa terjadi dengan penerusan Dasar Ekonomi Baharu pada tahun 1990 yang sepatutnya digantikan dengan dasar yang berasaskan kepada keperluan untuk menghapuskan kemiskinan tanpa mengira kaum, agama, atau kawan, apabila berlakunya rasuah, salah guna kuasa, dan pecah amanah yang berlanjutan sehingga membawa kepada negara kita menjadi “kleptokrasi dalam bentuk yang terburuk” dengan skandal 1MDB yang bernilai berbillion dolar.

Bolehkah negara kita kembali kepada prinsip dan dasar pembangunan negara seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan dan Rukun Negara – Malaysia sebagai sebuah negara beraja berperlembagaan, dengan demokrasi berparlimen, pemisahan kuasa, kedaulatan undang-undang, tadbir urus yang baik, integriti awam, memerangi rasuah, hormat terhadap hak asasi manusia, Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dengan kebebasan beragama untuk semua agama yang lain, dan perpaduan negara yang terbentuk dari kepelbagaian masyarakat berbilang kaum, bahasa, agama, dan budaya di mana tidak wujud pembahagian rakyat kelas pertama atau kelas kedua berdasarkan kaum, agama, atau kawasan.

Ledakan di dalam Umno menunjukkan sebegitu sukar untuk menteri, Ahli Parlimen, dan pemimpin politik untuk membezakan antara perkara yang benar dan yang salah dan untuk mengecam skandal 1MDB, rasuah, dan kleptokrasi tanpa sebarang perasaan ragu-ragu.

Sehingga kini, terdapat mereka yang cuba berbangga dengan skandal kewangan, rasuah, dan kleptokrasi ini yang dapat dilihat melalui kempen “Malu Apa Bossku”, yang bertentangan dengan setiap prinsip dan dasar yang termaktub dalam Perlembagaan dan Rukun Negara.

Saya menyokong pakar ekonomi politik, Edmund Terence Gomez, yang mengatakan sudah tiba masanya untuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mempunyai hubungan yang terpisah dengan pihak Eksekutif kerajaan, terutamanya dalam hal ehwal pelantikan pesuruhjaya tertinggi badan anti-rasuah tersebut.

Beberapa pemimpin politik terpalit baru-baru ini apabila seorang saksi memberikan keterangan mengenai lejar Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) semasa perbicaraan rasuah presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.


Baca juga: “Selagi ada umur saya bersyukur je” – Bateri jantung Bob Lokman tinggal 10 peratus sahaja