Dunia hiburan hari ini dikejutkan dengan pendedahan seorang wanita bernama Sarah Yasmine yang mengakui dirinya adalah kekasih kepada pelakon sensasi, Aliff Aziz.
Mula menjalinkan hubungan dengan Aliff sejak Januari lalu, Sarah mengakui kekasih hatinya itu melakukan kesilapan namun tidak seharusnya dipersalahkan seorang diri.
Hal ini kerana, Sarah mendakwa Aliff hanya ‘dipergunakan’ oleh seorang wanita iaitu individu yang ditangkap khalwat bersama lelaki terbabit pada awal bulan Mac lalu.
Tidak menafikan dirinya terkejut apabila kekasih ditangkap khalwat, Sarah ketika itu memilih untuk mempercayai penjelasan Aliff dan benarkannya menumpang di rumah.
“Aliff menumpang di rumah selama sebulan sepanjang menghabiskan pengambaran drama tanpa pengetahuan sesiapa termasuklah Bella dan perempuan itu selain tiga orang rakan serumah saya.
“Sudah menjadi kebiasaan untuk saya bantu mengecas telefon Aliff. Kebetulan pagi itu, telefon tersebut lupa dikunci dan masih menyala. Saya melihat perbualannya di Whatsapp bersama ‘NRF’ iaitu wanita yang ditangkap khalwat bersamanya.
“Saya terkejut melihat perbualan mereka seperti sedang bercinta. Sedangkan dalam masa yang sama, dia bercinta dengan saya. Hati saya hancur kerana mempercayai Aliff Aziz,” kata wanita itu dalam satu hantaran di akaun Instagram miliknya.
Sarah yang terus membaca perbualan itu bagaimanapun terkejut apabila mendapati NRF sebenarnya mahu menjatuhkan Bella iaitu pelakon yang juga isteri kepada Aliff.
Rupa-rupanya, segala tindakan diambil Aliff selepas ditangkap khalwat dilakukannya untuk melindungi NRF dan Sarah mendakwa lelaki itu bagai dikawal wanita terbabit.
“Alangkah terkejutnya saya membaca rancangan NRF membolak-balikkan hati Aliff kepada Bella. Rupanya apa yang dilakukan Aliff adalah untuk melindungi NRF. Nampak macam Aliff kena ‘brain-wash’.
“Hancur hati saya melihat semua perancangan jahat NRF untuk menjatuhkan Bella dan mempengaruhi Aliff untuk berbuat perkara yang tidak sepatutnya dilakukan sebagai seorang suami Bella yang masih sah.” Dakwanya.
NRF dimaksudkan Sarah Yasmine di dalam pendedahan mengejutkan ini dipercayai merupakan pelakon yang ditangkap khalwat bersama Aliff iaitu Nur Ruhainies Farehah.
Sarah dalam hantaran tersebut turut berkongsi rakaman mesranya bersama Aliff selain beberapa tangkap layar perbualan lelaki berkenaan bersama Ruhainies sebagai bukti.
Baca juga: Wanita asal Singapura anggap negaranya bukan tempat terbaik untuk membesar