Setiusaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menafikan kewujudan gerakan boikot atau gesaan untuk menarik sokongan parti daripada Kerajaan Perpaduan.
Asyraf mengakui, ramai pemimpin dan ahli parti tersebut kecewa dengan kegagalan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib untuk mendapatkan pengampunan penuh.
Walau bagaimanapun, kekecewaan dan ketidakpuasan hati tersebut tidaklah sampai ke tahap menggulingkan Kerajaan Perpaduan dengan menarik semula sokongan.
Hal ini kerana, parti tersebut masih mempunyai peluang untuk membuat permohonan pengampunan kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-17, lapor Malaysia Gazette.
“Tidak ada satu pun yang saya terima (gesaan tarik sokongan sama ada) bertulis, Whatsapp atau secara terbuka. Saya yang mempengerusikan perjumpaan tersebut.
“Presiden bercakap, tidak ada siapa pertikai dan menuntut. Pelik juga kenapa nak keluar. Ini bukan (keputusan) mana-mana parti, ini kuasa Agong. Nak marah siapa?,” katanya memetik laporan Malaysia Gazette.
Penafian dibuat bagi mengulas dakwaan konon ada gesaan tarik sokongan dalam Perjumpaan Tertutup Khas bersama Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Ahad lalu.
Asyraf Wajdi memaklumkan bahawa parti tersebut juga terbuka dengan pebagai pandangan yang disuarakan ahli atau kepimpinan mengenai pengampunan Najib.
Namun pandangan itu tidak boleh bertentangan dengan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan YDPA boleh membuat keputusan mengurangkan hukuman tanpa nasihat Perdana Menteri.
“Presiden sendiri bersifat terbuka berhadapan dengan semua kepimpinan kerana memang itulah harapan kepimpinan parti. Mereka memahami bahawa ini adalah kuasa mutlak YDPA.
“(Kuasa mutlak) ini termaktub dalam perlembagaan. Sebab itu saya diminta oleh Presiden buat kenyataan untuk minta semua jangan pertikai kuasa YDPA.” Jelasnya.
Baca juga: Kerajaan lulus peruntukan pembangunan RM2.81 bilion untuk Kelantan