Malaysia Dateline

Kecewa rakyat lebih besar berbanding 6 calon bertanding, kata Shahrir

Umno Johor melihat sendiri keinsafan rakyat terhadap kegagalan kerajaan  Pakatan Harapan (PH) lebih besar daripada soal empat calon parti dan dua  calon bebas yang akan bertanding pada Pilihanraya Kecil (PRK) Tanjung Piai  kali ini, kata Ketua Umno Bahagian Johor Bahru Tan Sri Shahrir Abdul  Samad.

Beliau menjelaskan, sudah tiba masanya PH ‘rebranding’ nama gabungan empat  parti itu ‘Pakatan Harapan’ kepada ‘Pakatan Nasional’ yang dianggapnya  satu nama yang lebih kukuh untuk masa depan komponen PKR, DAP,AMANAH dan  Bersatu itu sekiranya mahu terus bertahan memerintah.

“Sepanjang perjalanan ke sini (Pontian) berderet bendera Pakatan Harapan.  Tapi apa maknanya ‘Harapan’ itu? Rata-rata rakyat sudah kecewa dan seolah- olah tiada harapan lagi untuk rakyat selepas PRU14.

“Di Johor ini saya bertemu orang (pengundi) Tanjung Piai ini, saya lihat mereka kecewa dengan PH.

“Sudah tiba masa PH kena ‘rebranding’ nama gabungan parti mereka kepada  ‘Pakatan Nasional’ jangan diletakkan ‘Harapan’ lagi,” ujarnya ketika ditemui Malaysia Dateline hari ini.

Beliau ditanya mengenai gelombang PH pusingan kedua dalam PRK kali ke 9  yang diadakan di Tanjung Piai selepas PRU14 lepas.

Hari ini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan bagi kerusi Parlimen  165 Tanjung Piai akan menyaksikan pertembungan 6 penjuru membabitkan calon PH Karmaine Sarbini; Wee Jeck Seng (BN), Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz  (Berjasa);S. Wendy Subramaniam (Gerakan) dna dua calon Bebas Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghafar.

Menurut Shahril lagi, BN yakin akan dapat meraih undi sekalipun 6 penjuru. Logik beliau adalah kurang kefahamannya pimpinan PH dalam memahami antara Muafakat Nasional dan Penyatuan Ummah yang dilaksanakan oleh Umno-BN dan Pas.

Beliau merujuk kepada dakwaan sesetengah pihak dan pimpinan dalam PH sendiri yang mempersoalkan pencalonan semula Wee Jeck Seng sebagai calon BN di PRK Tanjung Piai.

“Mereka (PH) nak berhujah pasal Muafakat Nasional yang BN lakukan. Mereka kena faham apa tujuan dan hasrat Muafakat Nasional dan kami (Umno-Pas) tolak terus soal warna kulit dan anutan agama dalam muafakat ini. Ia tidak sama dengan Perpaduan Ummah yang matlamatnya untuk Melayu dan Islam.

“Dari segi Pas kita (Umno) lihat terbukti mereka (Pas) mentadbir Kelantan dan Terengganu secara adil dan saksama bukan sama rata. Begitu juga ketika BN memerintah negara secara adil dan saksama.

“Hari ini kami (Umno-Pas) sebagai pembangkang melaksanakan satu kerjasama yang baik bagi kami dalam mempertaruhkan calon BN di Tanjung Piai ini,” ujarnya.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, daripada Bersatu pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Pada PRU14 Mei tahun lalu, Allahyarham Md Farid memenangi kerusi itu dalam pertandingan tiga penjuru dengan memperoleh 21,254 undi menewaskan Wee (BN-MCA) dan Nordin Othman (Pas), dengan majoriti 524 undi.

SPR menetapkan hari mengundi awal bagi PRK Tanjung Piai pada 12 November manakala hari mengundi 16 November ini.

Parlimen Tanjung Piai mempunyai dua Dewan Undangan Negeri (Dun) iaitu Pekan Nenas dan Kukup dengan jumlah keseluruhan pengundi yang layak memilih ialah 52,986 orang termasuk 280 pengundi awal dan lapan pengundi luar negara.