Malaysia Dateline

Kecewa tiada tindakan terhadap Mimos oleh kerajaan

Presiden Parti Negara (Negara) Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor, hari ini menzahirkan rasa kesal dan kecewa dengan kerajaan berikutan tiada tindakan dikenakan terhadap Mimos Bhd (Mimos).

Mohamad Ezam mendakwa, dalam Rancangan Malaysia (RMK) Ke-10 dan 11, peruntukan sebanyak RM1.2 bilion telah digunakan dan daripada jumlah tersebut, sebahagian besarnya diselewengkan.

Beliau berkata, pihaknya hadir ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini bertujuan untuk menyampaikan maklumat tambahan yang diperoleh daripada pihak tertentu yang membawa laporan audit negara itu.

“Hari ini kita serahkan maklumat daripada Jabatan Audit Negara yang mengesahkan ada penyelewengan berlaku dan memang ada saranan daripada Ketua Audit Negara supaya tindakan turut diambil.

“Enam bulan yang lalu pada 24 Julai 2019, kami telah membuat laporan, namun tiada apa-apa yang berlaku.

“Kami juga telah pergi ke Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk menyerahkan secara langsung kepada Pejabat Menteri, juga tiada apa-apa maklum balas.

“Kalau kenyataan saya salah, mereka boleh saman saya atau pun jawab, tetapi saya ingin menyatakan bahawa dulu kita sudah menyerahkan kepada SPRM maklumat yang kita dapat. Hari ini kita serahkan pula maklumat daripada Jabatan Audit Negara yang mengesahan memang ada penyelewengan berlaku,” katanya seperti dipetik dalam video Malaysia Gazette, hari ini.

Mohamad Ezam berkata, sehingga ke hari ini, Mimos mempunyai bermacam-macam cerita yang tersendiri.

“Ada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ditamatkan perkhidmatan dalam keadaan mencurigakan. CEO yang menjalankan tugas, yang mendedahkan penyelewengan pula diberhentikan kerja.

“Jadi, kami kesal kerana kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang melaungkan reformasi, menjadi sebaliknya di peringkat jabatan.

“Tidak ada perubahan yang berlaku, malah ada pegawai-pegawai yang ingin melakukan perubahan, itulah yang menjadi mangsa. Mereka yang menyeleweng, terus duduk dalam jabatan kerajaan,” katanya lagi.