“Kecil-kecil dah jadi hantu durian”, budak 1 tahun berebut Musang King dengan mak ayah!

Oleh WAN SITI AMINAH

Gelagat seorang kanak-kanak kacukan ‘berebut’ durian dengan ibu bapanya telah berjaya mencuri perhatian pengguna media sosial tempatan, baru-baru ini.

Mana tidaknya, durian merupakan salah satu buah yang jarang diminati oleh warga asing namun kanak-kanak perempuan berusia setahun itu sangat menggemarinya.

Menerusi satu perkongsian di akaun TikTok, ibu kepada kanak-kanak terbabit iaitu Nina Monzolevska memuat naik rakaman ketika keluarganya menikmati raja buah itu.

Menurut wanita warganegara Ukraine terbabit, buah durian yang dinikmati oleh ahli keluarganya itu adalah jenis Musang King berharga SGD$30 atau sekitar RM104.34.

“Tak sangka saya mengeluarkan belanja sebanyak SGD$30 untuk durian ini,” kata Nina yang bekerja sebagai model di Singapura itu kepada suaminya dalam rakaman tersebut.

Namun yang menjadi sorotan orang ramai adalah gelagat kanak-kanak dikenali sebagai Skyla itu kerana begitu bersungguh menikmati durian hingga ‘berebut’ dengan ibu bapanya.

Menerusi rakaman tersebut, Skylar mulanya kelihatan sangat teruja apabila ibunya membuka bekas polistirena yang berisi beberapa biji buah durian Musang King itu.

Skylar yang belum menghabiskan buah di tangannya mula terlihat cemas selepas mendapati isi dalam bekas terbabit berkurang sebelum bertindak mengambil satu lagi ulas durian.

Tidak hanya berebut isi durian di dalam bekas, Sylar turut menjamah Musang King dimakan oleh ibunya walaupun kedua belah tangannya memegang dua ulas buah yang masih berbaki.

Berjaya mencuri perhatian ramai, perkongsian Nina itu tular di media sosial dengan meraih 2.5 juta tontonan dan 169,800 tanda suka daripada pengguna platform TikTok.

Tinjauan di ruangan komen pula mendapati rata-rata pengguna meluahkan rasa kagum melihat Skylar yang tidak kekok menikmati durian meskipun usianya baru setahun.

Ramai juga pengguna tampil memberi cadangan untuk Nina membeli buah jenis lain sebagai contohnya Udang Merah atau Black Thorn ekoran rasanya yang berbeza.

Sekadar info, Skylar adalah anak kacukan Asia berikutan ibunya yang juga pencipta kandungan TikTok berusia 26 tahun itu mendirikan rumah tangga dengan lelaki warga Singapura.

Baca juga: Datang dengan jubah tak berseterika, amil terkejut lelaki disangka asnaf bayar zakat RM1 juta