Kecilkan kabinet: Pastikan kecekapan perkhidmatan, kebajikan  penjawat awam tidak terencat

Kecilkan kabinet: Pastikan kecekapan perkhidmatan, kebajikan penjawat awam tidak terencat

Pengumuman Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengatur barisan kepimpinan kabinet baharu yang akan diumumkan hari ini, dilihat menepati janji Pakatan Harapan sebelum ini yang mahu mengurangkan kos perbelanjaan kerajaan dengan mengecilkan portfolio 22 kementerian.

“Salah satu janji kerajaan Pakatan Harapan mengurangkan kos perbelanjaan kerajaan. Dari sudut ini pengurangan bilangan kementerian adalah satu daripada langkah tersebut.

“Tetapi perlu dipastikan kecekapan perkhidmatan tidak terencat dan juga lebihan penjawat awam akibat pengurangan kementerian tidak diabaikan kebajikan mereka,” ujar Pakar Geostrategi Sekolah Perdana Universiti Teknologi Malaysia (UTM)Azmi Hassan kepada Malaysia Dateline.

Beliau diminta mengulas akan pembentukan pertama 10 kementerian utama oleh PH bagi melancarkan pelaksanaan manifesto PH untuk 100 hari selepas pembentukan kerajaan baharu pada Khamis.

Ia membabitkan Kementerian Kewangan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pertahanan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Kementerian Ekonomi, Kementerian Kerjaraya, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Multimedia Sains dan Teknologi dan Kementerian Luar Bandar.

Dr Mahathir semalam, dipetik berkata PH tidak mahu mempunyai kabinet yang besar bagaimanapun ada kementerian tertentu perlu diisi segera.

PH dijangka akan membuat pengumuman rasmi 10 menteri kabinet baharu yang akan menerajui kementerian tersebut pada jam 1 tengahari ini.

Kata Azmi lagi, kemenangan besar PH meraih 104 kerusi Parlimen untuk membentuk kerajaan baharu disebabkan janji PH untuk menangani kos sara hidup dan rasuah diterima baik oleh sebahagian besar pengundi pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Katanya, kekalahan Barisan Nasional (BN) juga didorong oleh kehendak rakyat yang mahukan perubahan.

“Harapan baharu yang dibawa oleh Pakatan Harapan adalah terlalu menarik untuk rakyat, sukar untuk rakyat tidak menghiraukannya. Lagipun janji Pakatan Harapan untuk kurangkan kos sara hidup adalah terlalu dekat dengan kehidupan harian rakyat.

“Senario pertukaran kerajaan adalah sihat untuk politik Malaysia kerana keputusan yang memihak kepada Pakatan Harapan itu mengambarkan kematangan politik rakyat dan demokrasi yang tidak dicemari.” ujarnya.

Azmi berkata,bagi mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi negara, beliau menyarankan, kerajaan baharu Pakatan Harapan perlu memberi tumpuan khusus kepada ekonomi dan fiskal kewangan.

“Ini penting diambil berat kerana dengan penghapusan GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan) dan mengembalikan subsidi bahan api akan memberi tekanan kepada sumber pendapatan negara,” ujarnya merujuk kepada kenyataan Dr Mahathir untuk kembali kepada SST (Cukai Jualan dan Perkhidmatan) selepas menghapuskan GST.

Cukai SST adalah cukai satu aras yang mana cukai ini hanya dikenakan kepada pengilang sahaja dan tidak boleh dituntut.Cukai ini dianggap sebagai kos kepada perniagaan.

GST pula adalah cukai yang dikenakan kepada pengguna yang menggunakan barang dan perkhidmatan di setiap peringkat rantaian sehingga pengguna.

 

 

5.5
OVERALL SCORE
: 10.0
1 user vote x 1.0
CATEGORIES
TAGS