Kecoh hari raya jatuh sehari lebih awal, ini respon Jakim dan Masjid Wilayah buat orang ramai

Oleh KIM SYAZIE

Beberapa hari lalu tular di media sosial dan kumpulan WhatsApp mengenai hebahan tarikh Hari Raya Aidilfitri yang dikatakan jatuh pada 21 April ini.

Hebahan ini menjadi perbualan dalam kalangan orang ramai apabila tarikh tersebut berbeza seperti yang tercatat dalam kalendar pada 22 April.

Menjawab kekeliruan ramai, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam satu kenyataan tampil menyeru semua pihak supaya tidak membuat sebarang andaian mengenai tarikh Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.

Jakim menasihatkan agar orang ramai menghormati proses penentuan rasmi tarikh Hari Raya di negara ini yang dilaksanakan sejak sekian lama dengan menyerahkan tanggungjawab itu kepada pihak berautoriti.

Jakim berkata, pengumuman rasmi tarikh Hari Raya Aidilfitri dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja (PMBRR) selaku pihak berkuasa yang diamanahkan Majlis Raja-Raja pada masa tersebut.,

“Jakim ingin memaklumkan, bahawa pengisytiharan tarikh 1 Syawal pada setiap tahun bagi negara Malaysia adalah dibuat oleh PMBRR melalui media utama sejurus menerima laporan hasil cerapan anak bulan yang dibuat di 29 lokasi cerapan rasmi setelah mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang mewakili Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.

“Semua pihak disaran membuat semakan ketepatan tarikh hijri yang terdapat pada jam digital azan khususnya di masjid dan surau agar sentiasa selari dengan kalendar hijri yang dikeluarkan oleh Jakim atau pihak berkuasa agama negeri dan disahkan oleh Panel Pakar Falak,” katanya.

Pada masa sama, pihak pengurusan Masjid Wilayah Persekutuan menerusi hantaran di Facebook memaklumkan tarikh itu adalah bagi memberi kesedaran kepada jemaah untuk mengejar 10 malam terakhir Ramadan dengan meningkatkan amal ibadah.

“Tular satu tangkap layar berhubung gambar counting (kiraan) tarikh ‘Akhir Ramadan 1444H 20 April 2023’ di Paparan TV Iklan Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Sukacita dimaklumkan bahawa tarikh tersebut adalah bagi memberi kesedaran kepada jemaah untuk mengejar 10 malam terakhir di bulan Ramadan supaya dapat meningkatkan ibadah.

“Pihak Masjid tidak bertanggungjawab menentukan tarikh sebenar 1 syawal kerana ia adalah di bawah bidang kuasa Penyimpan Mohor Besar Raja Raja,” jelasnya.

Justeru, pihak masjid meminta orang ramai untuk tidak beranggapan bahawa tarikh yang dipaparkan adalah suatu ketetapan.

Baca juga: Berjaya kutip RM500 sehari di bazar Ramadhan, pengemis pilih tidur di hotel