Sebuah premis memproses makanan yang diserbu kerana disyaki menggunakan logo halal tidak sah baru-baru ini rupanya dimiliki oleh ahli perniagaan sensasi, Datuk Seri Vida.
Pemilik nama sebenar Hasmiza Othman itu bagaimanapun mengaku terkejut kerana tidak tahu premis yang mengusahakan kerepek kulit ikan salmon tersebut diserbu.
Terpinga-pinga, Vida dikatakan baru pulang dari luar negara dan serbuan dengan nilai sitaan berjumlah RM88,582.50 itu berlaku ketika ketiadaannya, lapor Kosmo.
“Saya tak tahu apa-apa. Saya baru bangun tidur dan baru pulang dari oversea (luar negara). Buat masa sekarang, saya kena ambil tahu apa sebenarnya yang terjadi.
“Saya kena baca dahulu apa laporan media berhubung dakwaan yang awak maklumkan kepada saya ini,” kata usahawan berusia 53 tahun itu memetik laporan Kosmo.
Terdahulu, sebuah premis disyaki menggunakan logo tidak sah bagi produk makanan ringan ‘salted egg salmon skin’ diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), kelmarin.
Pengurus premis terbabit juga gagal mengemukakan sebarang perakuan halal yang sah apabila diminta oleh pihak KPDN dalam operasi dijalankan sekitar jam 11 pagi itu.
Meskipun tidak tahu menahu mengenai serbuan itu, Vida menyatakan kesediaannya untuk memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa jika benar berlakunya kesalahan.
“Saya sedia beri kerjasama kepada pihak berkuasa untuk disoal siasat. Takkan saya nak lari pula. Tetapi, sekarang saya tak tahu sangat tentang serbuan yang diadakan.
“Sebab ketika kejadian, saya tiada di tempat serbuan,” ujar pelantun suara lagu Ku Ikhlaskan itu menjelaskan situasi sebenar yang dihadapinya.
Difahamkan, serbuan di Kawasan Perindustrian Jelapang, Ipoh, Perak itu adalah hasil maklumat awam dan risikan KPDN negeri berhubung aktiviti memproses makanan yang disyaki menggunakan logo halal tidak sah.
Tindakan menyita diambil berhubung semua produk yang disyaki menggunakan logo halal tidak sah, balang plastik yang tertera logo halal dan dokumen perniagaan untuk siasatan lanjut di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.
Kes disiasat kerana melanggar Subperenggan 4 (1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 Akta Perihal Dagangan 2011 yang menjadi kesalahan di bawah Subperenggan 8 (a) perintah sama.
Denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya bagi individu, manakala denda tidak melebihi RM250,000 bagi syarikat atau pertubuhan perbadanan boleh dikenakan jika sabit kesalahan.
Justeru itu, KPDN menyeru kepada setiap peniaga dan pengusaha supaya mematuhi perundangan yang berkuat kuasa termasuk mendapatkan perakuan halal yang sah daripada agensi kerajaan.