Kecoh konon dapat anak, Michelle Yeoh rupanya kongsi gambar cucu

Oleh MAISARAH AISYA

Ramai menyebarkan khabar angin kononnya pelakon Tan Sri Michelle Yeoh melahirkan anak selepas memuat naik gambar kaki bayi.

Malah banyak portal yang menyebarkan tajuk kononnya itu adalah anak kepada pemenang Oscar tersebut namun sebenarnya tidak benar.

Apatah lagi bentuk badannya yang kekal ramping menyebabkan ramai membuat andaian dia mungkin mengambil khidmat ibu tumpang atau anak angkat.

“Sedikit keajaiban pada hari pertama tahun 2024 dan kami berasa sangat diberkati.

“Tidak dapat menggambarkan betapa gembiranya kami dengan hadiah istimewa ini,” ujar kapsyen pelakon berusia 61 tahun itu.

Namun selepas beberapa ketika, Michelle memaklumkan ia adalah cucu daripada anak hasil perkahwinan terdahulu suaminya, Jean Todt.

“Terima kasih Nicholas dan Darina kerana menjadikan kami sebagai datuk serta nenek paling bahagia.

“Selamat datang Maxime,” ujar kapsyen dalam gambar yang dimuat naik bersama anak tiri di hospital.

Michelle selamat mendirikan rumah tangga bersama bekas ketua pegawai eksekutif Ferrari pada 28 Julai tahun lalu dalam acara yang dilakukan secara kecil-kecilan.

Rata-rata warganet mengecam tindakan sesetengah orang yang meninggalkan komen tidak baik selepas khabar angin tersebar.

“Ramai yang serang kononnya susah nak jadi mak di usia 61 tahun, semua dah boleh tarik balik dan minta maaf.

“Masih ramai yang suka mengkritik tanpa tahu kebenaran, dah 2024 cukup-cukuplah sibuk hal orang lain dan fokus pada diri sendiri.

“Kepada semua portal yang muat naik khabar angin mengenai ibu tumpang boleh ambil pengajaran dan tunggu klarifikasi tuan badan terlebih dahulu,” antara komen warganet.

Baca juga: Komposer terkenal kini gelandangan? Mahu habiskan sisa hidup di rumah orang tua