Kecoh masa tengah jawab ‘exam’, rupanya ada pelajar bersalin dalam kelas

Oleh MAISARAH AISYA

Tiada siapa dapat menyangka bahawa ada pelajar sekolah menengah yang sarat mengandung sedang menduduki peperiksaan.

Kejadian dikatakan berlaku di sebuah sekolah menengah di daerah Sampang, Jawa Timur, Indonesia.

Menurut portal Kompas, guru yang mengawasi peperiksaan, Muhammad Nurchalid, mengakui tiada sebarang tanda mencurigakan sebelum peperiksaan itu dijalankan.

Malah guru itu memaklumkan pelajar terbabit langsung tidak kelihatan panik ketika masuk ke bilik peperiksaan.

“Saya menjaga peperiksaan pada jam kedua, suasana dalam bilik peperiksaan ketika itu juga normal, tiada sebarang tanda (pelajar ingin bersalin),” katanya seperti dipetik Kompas.

Katanya, suasana juga tenang ketika dia mengagihkan token ujian kepada pelajar, tiba-tiba mula kedengaran bunyi bising.

Nurchalid cuba menenangkan keadaan dan meminta pelajar memberi tumpuan kepada peperiksaan.

Ketika itulah dia terdengar suara tangisan bayi dan mendapati ada pelajar sekolahnya melahirkan anak, maka mulalah murid lain keluar untuk melihat situasi itu.

“Pelajar terbabit pula dilihat duduk sambil memegang bayinya,” katanya.

Dia kemudian cuba menghubungi seorang guru perempuan supaya dapat membantu pelajar berkenaan, tambahan turut jelas darah kelihatan di atas lantai.

“Kebetulan seorang guru mengenai pegawai di Pusat Kesihatan Komuning dan pelajar berkenaan dibawa ke pusat kesihatan itu dengan ambulans.

“Setibanya di pusat kesihatan, bayi berkenaan disahkan berada dalam keadaan sihat dan dibawa pulang oleh keluarga pelajar terbabit,” tambahnya.

Pelajar tersebut kemudian dirujuk ke Hospital Wilayah Dr Mohammad Zyn kerana keadaannya membimbangkan dan dimaklumkan bahawa murid tersebut dalam keadaan baik.

Timbalan Ketua Perhubungan Awam sekolah berkenaan, Hamid turut mengesahkan kejadian itu.

Dia bagaimanapun tidak mengetahui secara terperinci kejadian itu tetapi berdasarkan maklumat guru yang menjaga peperiksaan di di kelas itu dia mendengar bunyi tangisan bayi.

Baca juga: Isteri rasa tak dihargai, rumah tangga Abang Viva goyah? – “Carilah yang lebih baik”