Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah menafikan dirinya adalah pemimpin utama Bersatu yang didakwa sedang berusaha untuk ‘merisik’ jawatan dalam kerajaan.
Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) itu turut mengakui tidak pernah berjumpa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim secara bersendirian bagi tujuan tersebut.
Hamzah bagaimanapun tidak mengetahui identiti pemimpin Bersatu yang dikatakan sering melawat Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam usaha melakukan rundingan.
Dakwanya, pemimpin utama lain dalam parti berkenaan juga tidak mengakui mereka terlibat ataupun pernah melakukan tindakan sedemikian, lapor Malaysia Gazette.
“Siapa dia (pemimpin kanan Bersatu yang bertemu dengan Anwar)? Mana saya nak tahu ini fitnah ke, palsu ke? Yang orang kata saya (merisik jawatan) adalah palsu.
“Saya nak maklumkan, saya tidak pernah jumpa Anwar Ibrahim semenjak dia jadi Perdana Menteri (untuk minta jawatan). Terjumpa di Parlimen itu, adalah,” katanya memetik laporan Malaysia Gazette.
Hamzah turut menafikan dakwaan kononnya ada kalangan ahli Parlimen Bersatu mencuba untuk merisik jawatan dalam kerajaan seperti yang digembur-gemburkan.
Malah, mereka yang dituduh turut bersumpah dengan nama Allah bagi menafikannya dalam satu Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, baru-baru ini.
“Inilah dia, saya nak beritahu. Mesyuarat baru ini ada MPT Bersatu. Semua mereka yang dituduh itu bersumpah wallahi tak pernah jumpa Anwar Ibrahim. Jadi tak adalah kot.” Ulasnya.
Hamzah dilaporkan berkata demikian pada sidang selepas Mesyuarat Ketua-Ketua Jawatankuasa Portfolio Dewan Rakyat Ke-15 PN, di ibu pejabat PN di Kuala Lumpur.
Terdahulu, sebuah portal berita melaporkan seorang pemimpin utama Bersatu sering mendatangi PMO demi ‘kelansungan’ beberapa pemimpin tertentu sehingga pemilihan parti.
Sumber yang enggan dinamakan itu mendakwa, bahawa lebih ramai lagi wakil rakyat Bersatu dijangka akan mengisytiharkan sokongan mereka kepada Perdana Menteri.