Bekas penyampai radio Suria FM, Tyzo Zander mendakwa segmen kendalian rakan penyampai iaitu DJ Lin adalah paling tercorot pada tahun 2022 dan 2023.
Manakala, slot Suria Petang yang dikendali pemilik nama sebenar Tuah Zulqarnain itu bersama Sharifah Shahirah pula merekod rating tertinggi untuk dua tahun tersebut.
Bukan itu sahaja, Tyzo juga mendakwa bahawa segmen Suria Petang berjaya kekal di tangga teratas empat kali berturut-turut ketika kajian rating tersebut dijalankan.
Turut memuat naik dua keping gambar sebagai bukti, perkara tersebut dibongkarkan oleh lelaki berusia 48 tahun itu menerusi satu hantaran di akaun Instagram miliknya.
“Kecoh sangat pasal RATING, biarlah gambar berbicara. Ini data RATING JUMLAH PENDENGAR.
“Alhamdulillah bagi tahun 2022 hingga 2023, Suria Petang berada di tangga teratas segmen sepanjang empat kali survey (kajian) dijalankan secara berturut-turut,” jelasnya.
Dalam perkongsian sama, Tyzo turut mendakwa tulisan tangan memaparkan rating itu ditulis sendiri oleh Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abdul Majid atau DJ Lin.
“Gambar tersebut dibentang dan ditulis tangan sendiri di papan putih oleh GM (Pengurus Besar). Sekian.” Ulas Penyampai Radio Paling Popular (ABPBH-35) itu.
Terdahulu, pihak Suria FM mendakwa bahawa kajian rating radio swasta berkenaan menunjukkan penurunan membabitkan jumlah pendengar bagi segmen Suria Petang.
Maklumat itu disampaikan oleh Pengerusi Star Media Radio Group (SMRG) Berhad, Datuk Dr Mohd Aminuddin Mohd Rouse pada satu sidang media khas, kelmarin (Jumaat).
Dalam sidang media tersebut, Mohd Aminuddin memaklumkan, jumlah pendengar segmen Suria Cinta kendalian DJ Lin adalah antara yang paling tinggi setiap minggu.
Oleh yang demikian, tiada sebab bagi pihak syarikat untuk memecat DJ Lin walaupun menerima desakan daripada netizen yang mengugut mahu memboikot stesen radio berkenaan.
Baca juga: Bos besar bertegas tiada sebab untuk pecat DJ Lin, setiap minggu pendengar DJ Lin antara tertinggi