Suami selebriti terkenal, Heliza Helmi iaitu Mahadi Badrul Zaman kembali menjadi topik perbincangan hangat selepas didakwa terlibat dalam aktiviti ‘scam’ atau penipuan.
Mana tidaknya, nama Mahadi yang merupakan ahli perniagaan itu berada di dalam senarai ‘Amaran Kepada Pelabur’ dikeluarkan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).
Difahamkan, senarai tersebut menamakan individu yang didakwa melakukan aktiviti pelaburan secara tidak sah sama ada melalui entiti, syarikat mahupun perseorangan.
Mahadi juga dikatakan mengguna gelaran Datuk Seri palsu selepas carian di laman web istiadat negara mendapati namanya tiada di dalam senarai penerima gelaran.
Tampil memberikan respon, usahawan berusia 41 tahun itu mengaku tidak menerima sebarang makluman dari pihak SC mengenai penyenaraian namanya, lapor mStar.
“Saya dalam perjalanan ke pejabat SC. Pertama sekali, saya tidak menerima surat atau emel daripada pihak berkenaan yang mengatakan mahu menjalankan siasatan.
“Tak tahu nak jawab macam mana sebab belum dapat kepastian dari pihak SC. Jadi pagi ini baru nak ke sana (pejabat SC) sebab ramai sudah bertanya mengenainya.
“Tiada jawapan kukuh buat masa ini. Tetapi Alhamdulillah, saya rasa syarikat saya tidak buat perkara yang salah, menipu atau haram,” katanya memetik laporan mStar.
Mengakui terkejut dengan penyenaraian tersebut, Mahadi memaklumkan dakwaan mengenai penglibatan dirinya dengan aktiviti ‘scam’ itu boleh mendatangkan fitnah.
Jelas Mahadi lagi, pihak polis juga telah dihubunginya dan badan penguat kuasa itu mendapati tiada sebarang laporan dibuat oleh mana-mana pihak terhadap dirinya.
“Kalau diikutkan, dari dulu lagi saya telah menghadapi ‘fitnah’ seperti ini. Tetapi saya sendiri terkejut apabila nama masuk di dalam sistem SC. Lagipun perkara ini tular.
“Saya sudah berhubung dengan pihak polis. Mereka mengatakan tiada lagi laporan dibuat terhadap saya. Tetapi pihak SC telah masukkan nama saya di dalam sistem.
“Saya pun pelik tentang perkara itu. Agak serabut, tetapi saya akan cuba selesaikan perkara ini secepat mungkin,” ulas Pengasas dan Presiden AUF MBZ itu membela diri.
Terdahulu, seorang pengguna Facebook yang menggunakan akaun Pseudoscience Watch mendakwa bahawa suami Heliza Helmi itu menjalankan aktiviti Skim Ponzi.
Skim ini melibatkan pelaburan penipuan yang menjanjikan pulangan atau keuntungan dalam jumlah luar biasa besar kepada pelabur selepas menyerahkan wang mereka.
Pseudoscience Watch juga mendakwa Mahadi terlibat dalam aktiviti jual beli saham melibatkan syarikat yang tidak tersenarai di Bursa Saham iaitu Kankyo Energy dan QEW.
Baca juga: Dari manis berhijab kepada ‘free hair’, ini alasan 4 selebriti wanita pilih buka tudung