Malaysia Dateline

Kecualikan kenaikan OPR ke atas golongan berpendapatan rendah

Semakin ramai rakyat menyuarakan keresahan mereka mengenai kenaikan kadar faedah OPR. Sudahlah inflasi semakin meningkat dan ramai di kalangan rakyat yang baru kembali bekerja setelah diberhentikan sebelum ini, mana mungkin rakyat mampu menghadapi kenaikan bayaran balik pinjaman yang lebih tinggi.

Dalam masa kurang daripada dua bulan, BNM telah menaikkan OPR sebanyak 50 mata, dan pakar ekonomi menjangkakan OPR boleh dinaikkan 75 mata lagi dalam tempoh 12 bulan lagi.

Jika ini berlaku, kadar faedah pinjaman akan melonjak ke paras pra-pandemik, tetapi terdapat ramai rakyat Malaysia yang belum bersedia menghadapi kenaikan ini.

Golongan paling terbeban dengan kenaikan ini adalah golongan berpendapatan rendah termasuk kumpulan B40 and pemilik perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terutamanya mereka yang menghadapi kekangan modal kerja.

Begitu juga golongan orang muda yang baru memulakan pekerjaan, termasuk juga mereka yang baru kembali bekerja setelah diberhentikan dalam 2 tahun lepas.

Dalam keadaan ekonomi yang masih meleset ini, golongan M40 juga turut terjejas, apatah lagi lebih 600,000 orang dari kumpulan M40 telah tergelincir ke dalam kumpulan B40.

Justeru, golongan-golongan sebegini perlu dikecualikan daripada kenaikan OPR. Ini adalah satu solusi yang mana dasar monetari negara dapat diketatkan dan golongan yang memerlukan bantuan tidak dibiarkan begitu sahaja.

Kenaikan OPR pada ketika ini lebih menguntungkan bank-bank dan hanya menekan sesetengah segmen rakyat yang masih belum bersedia.

Walaupun secara teorinya, OPR dinaikkan untuk melawan inflasi, timbul persoalan sama ada kenaikan OPR adalah kaedah paling sesuai dalam konteks hari ini, di mana inflasi semasa lebih disebabkan tolakan kos (cost-push).

Inflasi yang berlaku hari ini juga disebabkan kegagalan kerajaan BN-Bersatu-PAS yang tidak bersedia dari segi dasar “preemptive”, seperti memperluaskan sumber import bahan mentah dan makanan, memansuhkan sistem AP lebih awal dan meliberalisasikan dasar berkaitan pasaran.

Apatah lagi, kerajaan pula telah mula memotong subsidi dan hanya memberikan “bantuan” RM100 kepada sebilangan isirumah.

Adalah tidak adil bagi rakyat dicekik dengan beban faedah pinjaman, pada ketika kos sara hidup terus mencengkam hidup.