Malaysia Dateline

Kecualikan kuarantin kepada yang sudah disuntik vaksin di Singapura, cadang Adun

Tiga Adun di sempadan Malaysia Singapura berpendapat rakyat Malaysia yang sudah disuntik vaksin Covid-19 ketika bekerja di luar negara, perlu diberikan pengecualian kuarantin sekiranya mereka pulang ke Malaysia.

Menurut mereka, beberapa negara seperti Singapura, United Kingdom (UK) dan China telah pun memulakan suntikan vaksin berkenaan yang menurutnya turut diambil oleh rakyat Malaysia yang menetap di negara berkenaan.

Bahkan katanya, rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura juga telah mula menerima suntikan vaksin Covid-19.

“Risiko penyebaran virus kepada orang lain adalah hampir sifar. Maka, mereka langsung tidak perlu menjalani kuarantin.

“Dalam penetapan kriteria berkenaan, kerajaan harus mengikut kaedah perubatan saintifik.

“Contohnya suntikan mesti diterima berapa hari sebelum kembali ke Malaysia, tiada kesan sampingan, dan individu tersebut telah dikenalpasti berjaya merangsang penghasilan antibodi dalam badan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan tersebut dibuat bersama antara Adun Mengkibol, Chew Chong Sin; Adun Stulang, Andrew Chen, dan Adun Perling Cheo Yee How.

Pada masa sama, mereka berkata, kerajaan juga masih boleh menetapkan peraturan-peraturan berkaitan kuarantin mengikut situasi zon merah dan berisiko tinggi di kawasan tertentu.

Menurut mereka, jika peraturan berkenaan sempat diumumkan, ini akan membolehkan rakyat Malaysia dapat kembali bertemu dengan ahli keluarga yang telah lama terpisah sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

“Selain itu, kerajaan boleh mengambil pengalaman daripada pelaksanaan negara-negara lain dengan mewajibkan individu yang kembali ke Malaysia tanpa kuarantin, untuk berdaftar dan menggunakan aplikasi MySejahtera demi tujuan pemantauan dan pemeriksaan kesihatan,” tambahnya lagi.