Malaysia Dateline

Kedah akan laksana program TVET tahun depan

Kerajaan negeri Kedah kini berada dalam peringkat untuk mendapatkan maklum balas daripada Pusat Tahfiz berdaftar di negeri ini bagi melaksanakan Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Tahfiz mulai tahun hadapan.

Demikian dinyatakan oleh Exco Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (GLC), Datuk Dr Ismail Salleh.

Jelasnya, dalam proses untuk mendapat maklum balas tersebut, para pentadbir Pusat Tahfiz mempunyai peluang untuk memaklumkan mengenai kecenderungan dan minat mereka terhadap beberapa bidang yang telah dikenal pasti sesuai untuk diceburi oleh pelajar Pusat Tahfiz terbabit.

“Maklum balas dari Pusat-Pusat Tahfiz tersebut sedang dilaksanakan.

“Setelah itu, kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan dengan agensi pelaksana program tersebut bagi merealisasikan program yang direncanakan tahun hadapan.

“Setakat ini maklum balas yang diterima dari Pusat-Pusat Tahfiz adalah amat menggalakkan dan kita optimis selepas ini jangka akan wujud Pusat Tahfiz yang melaksanakan program TVET seperti automotif dan kulinari, ” tegasnya selepas majlis perasmian Sambutan Jubli Perak, Kolej MARA Kuala Nerang di Padang Terap, pada Ahad.

Datuk Dr Ismail Salleh ketika majlis perasmian ulang tahun ke 25 Kolej MARA Kuala Nerang pada Ahad.

Malah tambah Dr Ismail lagi, adalah diharapkan dengan melaksanakan program TVET tersebut, ia bukan sahaja akan melahirkan pelajar yang mampu menghafal dan mengamalkan Al-Quran, sebaliknya mahir dalam bidang kemahiran tertentu.

Beliau juga berkata, sehingga ini Maahad Tahfiz Ahmadiah di Bedong, Sungei Petani, telah pun telah sah menjalani pengajian program TVET melibatkan pengurusan masjid melalui kerja-kerja praktikal serta juga latihan yang akan diadakan di Masjid Bedong.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Pengarah MARA Negeri Kedah, Yahya Sani serta Pengarah Kolej MARA Kuala Nerang, Suwardi Sanusi.