Malaysia Dateline

Kedah ambil inisiatif atasi masalah banjir

Menteri Besar Kedah Incorporated (MBI Kedah) selaku syarikat induk kepada Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) memeterai perjanjian usaha sama dengan Smartpipe Technology Sdn Bhd (Smartpipe) bagi melaksanakan inisiatif untuk mencari penyelesaian kepada masalah bekalan air di negeri ini.

Pemeterian perjanjian tersebut membawa kepada penubuhan Darul Aman Water Solutions Sdn Bhd (DAWS) yang akan meneroka pendekatan strategik berkaitan isu air tidak terhasil (NRW) di Kedah.

Menurut Menteri Besarnya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, penubuhan DAWS dijangka dapat membantu SADA untuk menyediakan bekalan air memuaskan di negeri ini.

“Sistem paip lama antara sebab berlakunya NRW.

“Pada Januari tahun ini, SADA mencatat jumlah NRW yang tinggi iaitu 51.28 peratus.

“Sementara perangkaan terkini pada Ogos lalu menunjukkan jumlah NRW adalah 49.31 peratus, ” jelasnya.

Kata beliau lagi, kerajaan negeri berharap dengan tertubuhnya DAWS, peratus NRW dapat dikurangkan.

Tambahnya, ini sudah pasti akan dapat membantu mengatasi masalah tekanan air rendah disebabkan paip yang bocor.

Adalah difahamkan MBI Kedah akan memegang sebanyak 51 peratus ekuiti dalam DAWS dengan 49 peratus lagi dimiliki Smartpipe.

Manakala usaha sama tersebut membuka ruang bagi menyelesaikan masalah bekalan air secara komprehensif di negeri Kedah.

Kedah mempunyai kepanjangan paip air sejauh 13,000 kilometer, namun begitu 60 peratus daripadanya merupakan paip simen asbestos yang uzur.