Malaysia Dateline

Kedah benarkan kedai elektrik, elektronik, alat ganti dan hardware beroperasi

Kerajaan Negeri Kedah mengambil tindakan segera bagi membenarkan kedai elektik dan elektronik, alat ganti kenderaan, barangan input pertanian serta ‘hardware’ untuk beroperasi dalam tempoh lima hari seminggu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa keempat.

TAN KOK YEW

Menurut Exco Industri, Pelaburan, Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Sr Tan Kok Yew, buat ketika ini kedai-kedai tersebut hanya dibenarkan beroperasi dari hari Ahad hingga Khamis sahaja.

Namun begitu katanya, pembukaan premis perniagaan tersebut perlulah mengikut waktu operasi biasa seperti sebelum PKP dimana sekiranya ianya beroperasi antara pukul 9 pagi hingga 5 petang, ia juga hanya dibenarkan beroperasi dalam waktu yang sama sebelum pelaksanaan PKP sepanjang PKP fasa empat ini.

“Sebelum ini premis perniagaan alat ganti kenderaan, barangan input pertanian dan ‘hardware’ di Kedah cuma dibenarkan beroperasi dua hari seminggu iaitu pada Isnin dan Khamis. Walau bagaimana pun waktu operasi premis perniagaan tersebut tidak boleh lebih awal dari jam 8 pagi serta tidak lebih dari jam 8 malam.

“Bagi kilang atau pun industri yang telah mendapat kebenaran MITI untuk beroperasi dalam tempoh 16 dan 24 jam sebelum ini, tiada masalah bagi mereka meneruskan operasi dalam tempoh tersebut.

“Bagi sektor yang lain seperti kedai serbanika 24 jam dan stesen minyak, sehingga ini operasinya masih kekal antara jam 8 pagi hingga 8 malam,” tegas beliau.