Malaysia Dateline

Kedah boleh sekat air ke Pulau Pinang, dakwa MB Kedah

Konflik isu air Sungai Muda Kedah-Pulau Pinang semakin panas apabila Menteri Besar (MB) Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor membayangkan bahawa Kedah boleh menyekat maupun mengubah aliran Sungai Muda ataupun mengambil tindakan undang terhadap Pulau Pinang.

Sanusi juga berkata aliran air tersebut yang menjadi sumber bekalan air mentah Pulau Pinang boleh diubah ke tempat lain atau membuat sekatan di Pulau Pinang Tunggal yang merupakan sempadan antara kedua-dua buah negeri tersebut.

“Isu ini tidak akan berbangkit sekiranya Pulau Pinang tidak masuk campur dan menyentuh urusan negeri Kedah berkaitan elemen nadir bumi atau REE.

“Pulau Pinang yang mendapat sumber mentah dari Kedah telah mengacau urusan negeri ini dan tindakan yang diambil adalah bagi mempertahankan kepentingan negeri ini apabila sumber mentah adalah tanggungjawab negeri ini.

“Kerajaan Pulau Pinang seharusnya tidak mengganggu urusan negeri Kedah dan sewajarnya membuat bayaran RM50 juta setahun sepertimana yang diminta sebelum ini,” ujar beliau.

Semalam Malaysia Dateline turut menyiarkan kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow yang menyifatkan kenyataan MB Kedah yang yang tidak membenarkan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) memasuki mana-mana kawasan hutan di negeri tersebut sebagai amat tidak bertanggungjawab.

Sebelum ini juga terdapat pertubuhan bukan kerajaan yang telah pun melawat Ulu Muda setelah mereka bimbang dengan tindakan kerajaan negeri Kedah membenarkan kegiatan pembalakan di kawasan tadahan air semula jadi yang menjadi sumber air mentah bagi 4.6 juta penduduk di Pulau Pinang, Perlis dan Kedah.